Motosikal / Lain Lain Roda

Ducati Perkenal Monster Serba Baharu

Ducati telah memperkenalkan Monster serba baharu untuk bahagian kelima siri web Ducati World Premiere. Menurut pengeluar dari Itali itu, model itu kini lebih ringan dan berkuasa berbanding Monster 821. Untuk tahun 2021, ia akan ditawarkan dalam dua versi iaitu asas dan Plus.

Dari segi reka bentuk, Monster diinspirasikan oleh model asal tahun 1993 dengan elemen-elemen yang menonjol seperti tangki minyak berbentuk seperti belakang bison, lampu bulat dan rekaan ekor yang kemas, di mana dibawahnya terdapat subframe yang diperbuat daripada Glass Fibre Reinforced Polymer (GFRP).

Ducati menggunakan pelbagai komponen baharu dalam usahanya untuk mengurangkan berat Monster. Sebagai contoh, bingkai aluminium pada bahagian hadapan, yang sama seperti yang terdapat pada Panigale V4, lebih ringan sebanyak 4.5 kg, manakala bingkai belakang pula 1.9 kg lebih ringan. Selain itu, rim dan lengan ayun juga masing-masing lebih ringan sebanyak 1.7 kg dan 1.6 kg, menyumbang kepada berat (kering) 166 kg, kurang 18 kg berbanding sebelum ini.

Jantung Monster merupakan enjin Testastretta 937 cc silinder V berkembar patuh piawaian Euro 5 yang menjana 111 hp pada 9,250 rpm dan 93 Nm pada 6,500 rpm. Ini mewakili peningkatan sebanyak 2 hp dan 7 Nm berbanding model 821. Sesaran yang lebih tinggi secara tidak langsung menghasilkan penghantaran tork yang lebih kaya terutamanya pada julat rendah hingga pertengahan, sekaligus menjadikan motosikal ini lebih responsif di jalan raya.

Ciri elektronik seperti ABS Cornering, Traction Control dan Wheelie Control disertakan secara standard, begitu juga dengan Launch Control dan Quickshifter. Terdapat tiga mod tunggangan iaitu Sport, Touring dan Urban. Sementara itu, Monster Plus pula mendapat ciri tambahan dalam bentuk penghadang angin dan penutup tempat duduk pembonceng.

Kesemua ciri tersebut boleh diuruskan dengan mudah menerusi butang kawalan pada bar hendal serta paparan warna TFT berukuran 4.3 inci yang menampilkan grafik perlumbaan seperti Panigale V4, dengan meter rev yang besar dan penunjuk kedudukan gear.

Siri web Ducati World Premiere bermula pada November lalu dengan pelancaran Multistrada V4, diikuti dengan Scrambler dan XDiavel dalam fasa kedua, Panigale V4 SP dan SuperSport 950 dalam fasa ketiga dan Diavel 1260 Lamborghini dalam fasa keempat.

Previous post

Proton Catat Jualan 11,411 Unit Pada November 2020

Next post

Jeep Wrangler Rubicon Lego Technic Masuk Pasaran Tahun Hadapan

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *