Motosikal / Lain Lain Roda

Ducati Supersport 950 Tampil Wajah Mirip Panigale V4

Motosikal sports tahap kemasukan (entry-level) Ducati iaitu Supersport telah kemas kini untuk model tahun 2021, memberikannya nama baharu, enjin patuh piawaian Euro 5 dan pakej elektronik terkini.

Kini dikenali sebagai Supersport 950, ia menampilkan rekaan lampu LED dengan lampu nyalaan siang baharu serta lubang ambilan udara yang memberikannya wajah seakan Panigale V4. Bukan itu sahaja, fairing serta lubang udara sisi turut direka berdasarkan superbike flagship itu.

Sebagai motosikal sports yang asas, Supersport 950 menawarkan kedudukan menunggang yang lebih tegak. Pelana, bar hendal dan tempat letak kaki diposisikan pada kedudukan yang tidak akan memenatkan penunggang, sambil mengekalkan kawalan optimum. Secara standard, tempat duduk berada pada ketinggian 810 mm, namun pelanggan boleh mendapatkan tempat duduk rendah yang akan mengurangkan ketinggian sebanyak 20 mm.

Ducati telah memberikan segala naik taraf yang diperlukan bagi menjadikan enjin Testastretta 937 cc silinder kembar itu patuh homologasi Euro 5. Walaupun begitu, enjin tersebut masih kekal dengan kuasa maksimum sebanyak 110 hp pada 9,000 rpm dan 93 Nm pada 6,500 rpm. Untuk memerah lebih banyak kuasa dari enjin tersebut, Ducati turut menawarkan sistem ekzos titanium Akrapovic yang mengurangkan berat sebanyak 4.6 kg dan meningkatkan kuasa julat pertengahan sebanyak 5%.

Pakej elektronik turut disemak semula. Kali ini, ia hadir dengan penambahan unit pengukur inersia enam-paksi keluaran Bosch yang turut merangkumi Cornering ABS dan Traction Control, Wheelie Control dan Quickshift versi EVO. Penunggang boleh memilih antara tiga mod – Sport, Touring dan Urban – untuk menyesuaikan jentera dengan kehendak mereka.

Seperti sebelum ini, Supersport 950 boleh didapati dalam versi asas dan S. Versi S menampilkan sistem suspensi Ohlins boleh laras dan pelindung tempat duduk pembonceng.

Previous post

Ducati Panigale V4 SP - Senjata Litar Penunggang Amatur

Next post

Debut Peugeot 4008, 5008 dan 508 L PHEV Baharu Di China

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *