Motosikal / Lain Lain Roda

Ducati Panigale V4 SP – Senjata Litar Penunggang Amatur

Ducati telah memperluaskan barisan Panigale V4 menerusi pengenalan model baharu iaitu Panigale V4 SP (Sport Production). Menurut Ducati, motosikal ini ideal untuk penunggang amatur yang mahukan kelebihan ketika beraksi di litar lumba.

Penawaran terbaru dari Borgo Panigale ini juga menandakan kepulangan akronim SP yang diperkenalkan buat pertaa kali pada 1991 pada model Ducati 851.

Sekilas pandang, Panigale V4 SP mempunyai penampilan yang sama dengan Panigale V4 S namun apa yang menjadikan versi SP lebih menarik adalah livery Winter Test yang terdiri daripada warna hitam matte, perincian merah dan kemasan aluminium pada tangki minyak. Livery ini diinspirasikan oleh jentera lumba Ducati Corse yang digunakan semasa ujian pra-musim kejohanan MotoGP dan SBK.

Kuasa untuk motosikal ini dibekalkan oleh enjin 1,103 cc Desmosedici Stradale V4 yang mampu menghasilkan 214 hp pada 13,000 rpm dan 124 Nm pada 9,500 rpm. Enjin ini menggunakan klac kering STM EVO SBK yang menjanjikan fungsi ‘anti-hop’ yang lebih efektif.

Untuk casis pula, Ducati menggunakan fork Ohlins NIX 30, penyerap hentak TTX36 dan peredam stereng Ohlins yang dikawal oleh sistem Smart EC 2.0. Rim diperbuat daripada gentian karbon, menjadikannya 1.4 kg lebih ringan berbanding rim aluminium pada V4 S, sementara sistem brek pula terdiri daripada cakera 330 mm berkembar dengan angkup monobloc Brembo Stylema R pada bahagian hadapan.

Menepati jangkaannya sebagai superbike flagship, Panigale V4 SP sarat dengan ciri-ciri elektronik seperti Bosch EVO Cornering ABS, Traction Control, Slide Control, Wheelie Control, Quickshifter dan pelbagai lagi.

Bukan itu sahaja, Ducati turut menawarkan kit perlumbaan yang membolehkan cermin sisi, pemegang nombor plat ditanggalkan serta penutup klac terbuka. Turut disertakan adalah Ducati Data Analyzer dengan modul GPS.

Previous post

Mengapa Tempat Duduk Max Recline Ford Cukup Baik Walau Untuk Tidur

Next post

Ducati Supersport 950 Tampil Wajah Mirip Panigale V4

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *