Berita Auto

Hironobu Yoshimura Dilantik Pengarah Urusan, CEO Baharu Honda Malaysia

Honda Malaysia hari ini mengumumkan pelantikan Hironobu Yoshimura sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif baharu. Beliau menggantikan Madoka Chujo yang menggalas tugas baharu dalam Divisyen Jualan, Unit Penyeliaan Operasi Jualan Automobil Honda Motor di Jepun.

Mula bertugas pada 1 April lalu, Yoshimura memiliki pengalaman selama 34 tahun dalam pelbagai bidang di Honda, termasuk Perancangan Korporat, Perancangan Perniagaan, Pemasaran dan Perkhidmatan Selepas Jualan.

Pernah menjawat pelbagai jawatan penting di Jepun, Thailand dan Pakistan, tugas terakhir Yoshimura sebelum berpindah ke Malaysia ialah sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Atlas Cars (Pakistan) Limited.

Honda-Civic-11th-gen_sepang-pit-front-back-2.7

Bercakap mengenai peranan baharunya di Honda Malaysia, Yoshimura berkata, “Saya teruja untuk menggalas peranan baharu di Honda Malaysia. Negara yang unik dan pelbagai ini merupakan pasaran yang benar-benar penting di rantau Asia dan Oceania buat kami di Honda.”

“Pendahulu-pendahulu saya telah membina jenama Honda bagi menjadikannya satu kejayaan di Malaysia, sebagai perintis dalam memperkenalkan teknologi canggih di rantau ini, melancarkan model-model baru yang menarik, serta mendahului segmen Kenderaan Penumpang Bukan Nasional untuk bertahun lamanya,” tambah beliau.

Pada masa yang sama, Yoshimura turut berkongsi bahawa berdasarkan data dalaman, tiga model Honda iaitu City, City Hatchback dan Civic berjaya menduduki tempat pertama dalam segmen masing-masing bagi suku pertama tahun 2022.

Menyertai Honda Malaysia pada April 2021, tempoh perkhidmatan Madoka Chujo mungkin singkat, namun di bawah kendaliannya, Honda Malaysia berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai pendahulu segmen Kenderaan Penumpang Bukan Nasional untuk lapan tahun berturut-turut sejak 2014. Beliau turut melancarkan dua model baharu iaitu City Hatchback pada Disember 2021 dan Civic pada Januari 2022.

Previous post

Honda HR-V Amerika Utara Lebih Besar Dan Mendapat Suspensi Bebas Belakang

Next post

Ferrari Sapu Empat Kemenangan BESAR Di Anugerah Red Dot 2022

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *