Berita Auto

Honda City Hatchback Dilancarkan – Harga Dari RM75k

Honda Malaysia hari ini melancarkan Honda City Hatchback baharu, beberapa minggu selepas model itu dibuka untuk tempahan. Ia dilancarkan dalam empat varian iaitu S, E V dan RS e:HEV sebagai varian tertinggi.

Berikut adalah harga bagi setiap varian selepas pengecualian cukai jualan:

  • S: RM75,670
  • E: RM83,080
  • V: RM87,860
  • RS e:HEV: Akan diumumkan kemudian
Honda City Hatchback V

Varian S, E dan V dikuasakan oleh enjin 1.5-liter DOHC i-VTEC yang menghasilkan 121 PS dan 145 Nm. Ia dipadankan dengan transmisi jenis CVT yang ditugaskan untuk memacu roda hadapan.

Sementara itu, RS e:HEV pula dilengkapi dengan enjin 1.5 intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) dan transmisi e-CVT. Gabungan ini menghasilkan 109 PS dan 253 Nm, tertinggi dalam segmennya dan setara dengan tork enjin kereta NA segmen D.

Apa yang menarik, sistem hibrid motor berkembar Honda yang unik itu boleh bertukar di antara tiga mod pemanduan iaitu EV, Hibrid dan Enjin secara bergilir-gilir bergantung pada kondisi pemanduan.

Bukan itu sahaja, pasukan R&D juga telah berjaya menjadikan badan City Hatchback 6 peratus lebih kukuh berbanding Jazz bagi menawarkan kerangka berketegaran tinggi untuk keselamatan jika berlaku pelanggaran.

Untuk memberikan kabin yang lebih senyap kepada pemandu dan penumpang, tiang A dan B City Hatchbackjuga diisi dengan semburan busa polyurethane. Selain itu, bahan penyerap bunyi dengan pelbagai ketebalan dipasang pada bahagian bawah ruang enjin untuk mengurangkan bunyi dan ketegaran.

Dari segi kelengkapan, varian RS e:HEV hadir dengan kemasan hitam berkilat pada gril, Solid Wing dan perumah cermin sisi berwarna hitam, perumah lampu kabus dan bampar belakang. Varian RS e:HEV dan V dilengkapi dengan lampu utama LED bersama lampu nyalaan siang LED, lampu kabus hadapan LED, spoiler belakang, lambu belakang LED dan rim aloi 16 inci.

Untuk ruang dalaman, RS e:HEV mendapat tempat duduk Ultrasuede dengan jahitan merah, paparan kluster meter TFT berukuran tujuh inci dan corong pendingin hawa belakang. Sementara itu, V mendapat upholsteri kulit, manakala paparan audio berukuran lapan inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, panel pendingin hawa automatik serta dua port USB adalah standard pada tiga varian teratas.

Tidak seperti City sedan, versi hatchback ini menawarkan ULTRA Seats dengan empat konfigurasi iaitu Utility, Long, Tall dan Refresh untuk kegunaan yang berbeza. Kapasiti but pula adalah seluas 289 liter.

Honda City Hatchback V

Turut disertakan adalah brek parkir elektrik, dan ciri penghidup enjin kawalan jauh yang boleh menghidupkan enjin dan sistem pendingin hawa. Sistem Honda LaneWatch yang disertakan standard pada RS e:HEV dan V memantuan kehadiran kenderaan pada bahagian kiri dan mengurangkan titik buta menerusi paparan visual pada sistem infohibur.

Sistem Honda SENSING hanya disertakan pada varian RS e:HEV. Ia merangkumi Adaptive Cruise Control, Collision Mitigation Braking System, Forward Collision Warning, Lane Keep Assist System, Road Departure Mitigation, Lane Departure Warning dan Auto High Beam.

Previous post

Kembara Sejauh 1,600 km Dalam Tempoh Kurang 24 Jam

Next post

PDRM Keluar 74,437 Saman Dalam Ops Khas Nombor Pendaftaran

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *