Undang - Undang

PDRM Keluar 74,437 Saman Dalam Ops Khas Nombor Pendaftaran

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia, Datuk Mat Kasim Karim dalam satu kenyataan mengumumkan bahawa pihaknya mengeluarkan sebanyak 74,437 saman atas pelbagai kesalahan dalam Ops Khas (Nombor Pendaftaran) yang diadakan dari 1 hingga 30 November 2021.

Menurut beliau, 7,874 saman dikeluarkan untuk kesalahan nombor pendaftaran ‘fancy’, 2,112 untuk tiada nombor pendaftaran, dan 14,923 untuk nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan. Selain itu, sebanyak 49,528 saman dikeluarkan untuk lain-lain kesalahan.

Perbandingan jumlah saman mengikut jenis pengguna jalan raya menunjukkan pemilik motosikal melakukan kesalahan nombor pendaftaran tertinggi dengan 12,318 saman atau 49.45 peratus daripada jumlah keseluruhan saman yang dikeluarkan sepanjang operasi itu.

Sebanyak 10,549 saman atau 42.35 peratus dikeluarkan untuk pemilik kereta, manakala selebihnya adalah kepada lori (300 saman atau 1.2 peratus), 4X4 (942 saman atau 3.78 peratus) dan lain-lain (800 saman atau 3.22 peratus).

Sepanjang 30 hari operasi ini dilaksanakan, seramai 11 individu ditahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, tiga individu di bawah Kanun Keseksaan dan 20 individu di bawah Akta Dadah Berbahaya. Selain itu, 111 buah kenderaan pelbagai jenis turut disita di bawah Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas pelbagai kesalahan.

Menurut Datuk Mat Kasim, kenderaan-kenderaan tersebut disita bagi tujuan mengenal pasti identiti pemandu, identiti kenderaan atau untuk memberhentikan sesuatu kesalahan daripada berterusan.

“Operasi ini bertujuan untuk mendidik para pemilik dan pengguna kenderaan di Malaysia supaya mengikut peraturan yang telah ditetapkan dan memastikan undang-undang jalan raya dipatuhi tanpa kompromi,” kata Datuk Mat Kasim.

Beliau turut menasihati pemilik kenderaan agar segera menukar dan mempamerkan nombor pendaftaran mengikut spesifikasi yang dibenarkan. Tegas beliau, mereka yang ingkar akan dikenakan tindakan saman dan pertuduhan di mahkamah.

Previous post

Honda City Hatchback Dilancarkan - Harga Dari RM75k

Next post

Nissan Almera Turbo Catat 49.5 KM/L Dalam Kempen Pandu Amal

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *