Berita Auto

Honda Civic FE Dilancarkan Di Malaysia – Harga Dari RM125k

Honda Malaysia hari ini secara rasminya melancarkan sedan kegemaran ramai iaitu Honda Civic baharu ke pasaran tempatan. Model generasi ke-11 (FE) ini ditawarkan dalam tiga varian iaitu E, V dan RS, dan buat pertama kalinya, semua varian menampilkan enjin yang sama.

Enjin yang dimaksudkan adalah enjin 1.5-liter VTEC Turbo empat silinder yang telah dipertingkatkan. Hasilnya, ia menjana kuasa yang lebih tinggi iaitu 182 PS pada 6,000 rpm dan 240 Nm dari 1,700 hingga 4,500 rpm.

Honda Civic FE

Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 9 PS dan 20 Nm berbanding model generasi FD. Kuasa disalurkan ke roda hadapan menerusi Earth Dreams CVT. Model ini juga dilengkai dengan tiga mod pemanduan iaitu Econ, Normal dan Sport.

Ini sekaligus bermakna enjin naturally aspirated 1.8-liter i-VTEC empat silinder yang ditawarkan sebelum ini telah dikeluarkan dari barisan Civic.

Honda Civic FE

Selain enjin, ketiga-tiga varian Civic juga didatangkan standard dengan sistem bantuan pemandu Honda SENSING yang kini mempunyai satu ciri baharu iaitu Lead Car Departure Notification System. Semasa kenderaan melahu seperti menunggu di lampu isyarat, sistem ini akan memberikan amaran kepada pemandu jika kenderaan di hadapan mula bergerak.

Selain itu, Honda SENSING merangkumi ciri-ciri berikut:

  • Adaptive Cruise Control
  • Low Speed Follow
  • Collision Mitigation Braking System
  • Forward Collision Warning
  • Lane Keep Assist System
  • Road Departure Mitigation
  • Lane Departure Warning
  • Auto High Beam
Honda Civic FE

Adaptive Cruise Control kini mempunyai Low Speed Follow yang akan memperlahankan kelajuan dan pecutan dengan mengawal pendikit apabila ia mengesan kehadiran lampu brek atau lampu penunjuk arah dari kenderaan di hadapan.

Lane Keep Assist System pula memberikan operasi stereng yang lebih realistik dan lancar ketika membelok masuk dan keluar serta membantu kawalan stereng dalam keadaan angin lintang yang kuat atau ketika menerima tempias udara ketika dipintas oleh kenderaan besar.

Honda Civic FE

Turut dipertingkatkan adalah casis, yang mana menurut Honda, lebih kukuh dari Civic sebelumnya, dengan peningkatan sebanyak 8% untuk pengukuhan torsional dan 13% untuk pengukuhan liuk (bending). Aspek NVH juga telah ditambah baik dengan pemasangan insulator, penebat alas lantai dan semburan busan pada bahagian kerangka.

Buat pertama kalinya, Honda Malaysia menawarkan varian RS untuk model Civic. Sebagai varian tertinggi, Civic RS tampil dengan kemasan hitam berkilat di pintu, cermin sisi, antena sirip jerung, pemegang pintu dan spoiler but. Ia juga mempunyai ekzos berkembar dengan kemasan krom dan roda aloi hitam matte berukuran 18 inci.

Di dalam, ciri yang menjadikan tarikan utama adalah panel Honeycomb Mesh yang membuatkan papan pemuka kelihatan lebih premium. Tempat duduk juga direka semula untuk memberikan sokongan posisi badan yang lebih baik ketika memandu.

Varian RS boleh dibezakan menerusi upholsteri kombinasi kulit dengan jahitan benang merah, stereng kulit dengan jahitan benang merah, pelapik bumbung hitam, pedal sport dan pencahayaan pada ruang kaki.

Honda Civic FE

Varian RS dan V dilengkapi dengan paparan audio berukuran sembilan inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, serta dua slot USB di hadapan. Ciri-ciri standard lain yang disertakan pada semua varian adalah paparan kluster meter TFT berukuran tujuh inci, dua slot USB untuk tempat duduk belakang dan pengelap cermin pintar.

Akhir sekali, Civic juga mempunyai sistem telematik Honda Connect yang membolehkan pemandu berhubung dengan kereta mereka menerusi aplikasi telefon pintar. Fungsi utama Honda Connect adalah Diagnostik Kenderaan, Aplikasi Jarak Jauh, Aplikasi Keselamtan, Pemantauan Kenderaan dan Perkhidmatan Sokongan.

Honda Civic FE

Harga Honda Civic serba baharu bermula dari RM125,634 untuk varian E, RM138,043 untuk varian V dan RM144,350 untuk varian RS. Ia boleh didapati dalam warna Platinum White Pearl, Lunar Silver Metallic, Crystal Black Pearl, serta dua warna baharu iaitu Ignite Red Metallic dan Meteoroid Grey Metallic.

Previous post

Bagaimana Volvo Jual Lebih Kereta Pada 2021 Berbanding Saingannya

Next post

Lotus Pertama Kali Capai Tahun Jualan Terbaik Sejak 2011

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *