Berita Auto

Hyundai Elantra Generasi Ke-7 Bakal Masuk Pasaran Malaysia?

Setelah melancarkan Sonata dan Kona pada bulan lalu, Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) kini menyiarkan pula teaser Elantra generasi baharu menerusi laman Facebook mereka, menandakan kedatangannya ke pasaran tempatan tidak lama lagi.

Diperkenalkan secara rasmi pada Mac lalu, Elantra dibina di atas platform K3 baharu yang mempunyai kedudukan pusat graviti yang lebih rendah serta struktur tapak suspensi yang diperbaiki untuk pengendalian lebih responsif.

Dari segi reka bentuk, model generasi ketujuh ini hadir dalam bentuk coupe empat pintu dengan penggayaan yang berdasarkan bahasa reka bentuk Sensuous Sportiness. Ia juga mempunyai ukuran yang lebih besar berbanding model terdahulu.

Elantra boleh didapati dengan enjin 2.0-liter MPI dengan kuasa berjumlah 147 hp pada 6,200 rpm dan 179 Nm pada 4,500 rpm. Enjin petrol ini dipadankan dengan Intelligent Variable Transmission (IVT).

Ia juga ditawarkan dalam versi hibrid yang mempunyai kuasa keseluruhan berjumlah 139 hp dan 264 Nm hasil dari gabungan enjin 1.6-liter GDI Atkinson Cycle dan sebuah motor elektrik berkapasiti 32 kW (43 hp).

Hyundai turut menawarkan Elantra N Line yang dikuasakan oleh enjin turbo 1.6-liter GDI yang menghasilkan 201 hp dan 264 Nm. Dua pilihan transmisi ditawarkan untuk versi ini iaitu manual enam kelajuan dan DCT tujuh kelajuan.

Satu lagi varian yang bakal diperkenalkan adalah Elantra N yang merupakan versi paling berkuasa dalam rangkaian sedan itu. Ia dikatakan mempunyai enjin 2.0-liter turbo empat silinder dengan 275 hp seperti yang terdapat pada Veloster N.

Bagaimanapun, berdasarkan faktor harga, kebarangkalian untuk HSDM membawa masuk varian N dan N Line adalah sangat rendah. Apa-apa pun, kehadiran Elantra pasti akan menghangatkan lagi persaingan dalam segmen C bagi pasaran automotif tempatan.

Previous post

McLaren Artura - Supercar Hibrid Terbaru Dari Woking

Next post

Honda City Hatchback Dilancarkan Di Thailand

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *