Berita Auto

Hyundai Kona Dilancarkan di Malaysia

Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) hari ini melancarkan Hyundai Kona serba baharu, sekaligus menghangatkan lagi siangan dalam segmen crossover kompak. Ia ditawarkan dalam tiga varian iaitu 2.0, 2.0 Active dan 1.6 Turbo.

Kona menampilkan reka bentuk yang sporty dengan badan yang rendah lebar, serta jarak tapak roda (wheelbase) yang panjang dan ‘overhang’ yang pendek. Gril Cascading dan lampu LED bertindih memberikannya sentuhan moden.

Untuk pasaran Malaysia, model ini ditawarkan dalam warna Chalk White, Lake Silver, Phantom Black, Pulse Red dan Ceramic Blue. Varian 1.6 Turbo mendapat bumbung berwarna hitam untuk penampilan yang lebih menarik. Varian 2.0 Active dan 1.6 Turbo didatangkan dengan rim aloi 18 inci manakala varian 2.0 dengan rim aloi 17 inci.

Di dalam, rekaan yang moden digabungkan dengan trim dan tali pinggang keledar berwarna merah untuk warna Phantom Black dan Pulse Red, atau trim berwarna Lime untuk warna Chalk White. Pelanggan yang memilih warna Lake Silver, Phantom Black, Blue Lagoon dan Ceramic Blue akan mendapat trim dalaman berwarna kelabu.

Antara kelengkapan yang disertakan adalah skrin sentuh tujuh inci standard dengan Android Auto dan Apple CarPlay, paparan Heads-Up Display (2.0 Active dan 1.6 Turbo) dan pengecas wayarles Qi (1.6 Turbo).

Varian 2.0 dikuasakan oleh enjin Nu MPI 2.0-liter dengan 149 hp pada 6,200 rpm dan 180 Nm pada 4,000 rpm, serta transmisi automatik enam kelajuan yang memacu roda hadapan.

Sementara itu, varian 1.6 Turbo pula tampil dengan enjin 1.6-liter Gamma T-Gdi yang mampu menghasilkan 177 hp pada 5,500 rpm dan 265 Nm dari 1,500 hingga 4,500 rpm. Enjin ini dipadankan dengan transmisi klac berkembar EcoShift tujuh kelajuan.

Dari segi keselamatan, Kona 1.6 Turbo mendapat Forward Collison-Avoidance Assist (FCA), Lane Keeping Assist (LKA), High Beam Assist (HBA) dan Driver Attention Warning (DAW), manakala Kona 2.0 Active dilengkapi dengan Blind-Spot Collision Warning (BCW) dan Rear Cross-Traffic Collision Warning (RCCW).

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Kona diimport sepenuhnya (CBU) dari Korea Selatan. Harga atas jalan (tidak termasuk insurans) dengan pengecualian cukai jualan bermula dari RM115,888 untuk varian 2.0, RM130,888 untuk 2.0 Active dan RM143,888 untuk 1.6 Turbo.

Previous post

Mitsuoka Buddy Adalah Toyota RAV4 Dengan Gayaan Retro

Next post

Hyundai Sonata Masuk Pasaran Malaysia - RM206,888

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *