Trak Pikap, Van, MPV, Bas & Lori

Chevrolet Silverado Kini Ditawarkan Dalam Versi ZR2

Chevrolet baru-baru ini melancarkan barisan Silverado 2022 yang dipertingkatkan untuk pasaran Amerika Syarikat. Buat pertama kalinya, trak pikap bersaiz penuh itu boleh didapati dalam varian ZR2 yang dibangunkan untuk memberikan saingan kepada model-model seperti Ford F-150 Raptor dan Ram 1500 TRX.

Diposisikan sebagai model flagship yang menawarkan prestasi off-road terbukti, Silverado ZR2 hadir dengan pakej komprehensif yang merangkumi aspek penampilan, casis dan juga teknologi.

Jika dibandingkan dengan varian-varian lain, Silverado ZR2 boleh dibezakan menerusi kemasan hitam pada bahagian bonet, rekaan gril unik dengan logo ‘flow tie’, lencana ZR2, dan rim berukuran 18 inci yang dibalut tayar off-road MT 33 inci.

Selain itu, model ini juga didatangkan dengan bampar hadapan keluli yang bukan sahaja lebih lasak dan kuat, malah meningkatkan sudut pendekatan kepada 31 darjah. Turut disertakan adalah pakej ‘skid plate’.

2022 Chevrolet Silverado ZR2

Ruang dalaman pula menampilkan upholsteri kulit dalam warna Jet Black/Graystone, kluster instrumen digital berukuran 12.3 inci dan skrin sentuh berukuran 13.4 inci.

Bagi memastikan ia mampu beraksi di atas permukaan muka bumi yang mencabar, Chevrolet menggunakan sistem suspensi lebih tinggi dengan peredam Multimatic DSSV. Gegelung yang ditala khusus pula memberikan jarak pergerakan suspensi yang lebih besar jika dibandingkan dengan varian Trail Boss.

Kuasa untuk Silverado ZR2 dibekalkan oleh enjin NA 6.2-liter V8 yang menghasilkan 420 hp dan 624 Nm. Enjin buatan Genaral Motors (GM) itu dipadankan dengan transmisi automatik 10 kelajuan yang digandingkan dengan ‘e-locker’ pada gandar hadapan dan belakang.

Selain casis dan suspensi yang ditala khas untuk pemanduan off-road, trak ini juga dilengkapi dengan mod pemanduan Terrain yang membolehkan ia mendaki laluan berbatu dengan menggunakan satu pedal sahaja. Sementara itu, kapasiti muatan maksimumnya adalah 653 kg manakala kapasiti tunda maksimum adalah 4,037 kg.

Previous post

Bagaimana Bantuan Tepi Jalan Allianz General Membantu Penunggang Motosikal

Next post

Supercar Porsche Hancur Berkecai Dalam Kemalangan Berkelajuan Tinggi

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *