Trak Pikap, Van, MPV, Bas & Lori

Ini Dia Ford F-150 Raptor Generasi Ketiga

Ford Ranger Raptor adalah antara trak pikap paling popular dan digemari ramai pada masa kini. Namun, anda pasti tahu bahawa nama ‘Raptor’ sebenarnya dipopularkan oleh abang kepada Ranger iaitu F-150. Kini, Ford telah memperkenalkan F-150 Raptor generasi ketiga yang hadir dengan beberapa penambahbaikan.

Dibina berasaskan model F-150 generasi ke-14 yang dilancarkan pada tahun lalu, F-150 Raptor baharu tampil dengan enjin 3.5-liter EcoBoost V6 sebagai satu-satunya pilihan enjin setakat ini. Jumlah kuasanya tidak didedahkan, namun ia dijangka lebih berkuasa dari model generasi terdahulu yang mempunyai 450 hp dan 690 Nm.

Apa yang menarik, Ford mengesahkan bahawa memperkenalkan versi lebih ekstrem yang dikuasakan oleh enjin V8 iaitu Raptor R.

Berbalik kepada F-150 Raptor, ia didatangkan sistem ekzos baharu dengan injap aktif dan ‘trombone loop’. Ini membolehkan pemandu memilih bunyi ekzos yang dikehendaki menerusi empat mod yang disediakan iaitu Quiet, Normal, Sport dan Baja.

Casis trak berprestasi tinggi ini turut ditambah baik dengan suspensi ‘five-link’ baharu dengan ‘trailing arm’ yang lebih panjang serta rod Panhard pada bahagian belakang. Turut disertakan adalah peredam FOX dan gegelung 24 inci pada keempat-empat sudut. Tayar standard yang digunakan adalah bersaiz 35 inci namun pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan tayar 37 inci.

Sebagai sebuah trak pikap yang dibangunkan khas untuk pelbagai jenis permukaan bumi, F-150 Raptor mempunyai Terrain Management System yang mengandungi tujuh mod pemanduan iaitu Slippery, Tow/Haul, Sport, Normal, Off-Road, Baja dan Rock Crawl. Ciri Trail 1-Pedal Drive pula membolehkan pemandu memanjat batu dengan hanya mengawal pedal pendikit – tekan untuk bergerak dan lepas untuk brek.

Bagaimanapun, F-150 Raptor juga sesuai untuk digunakan sebagai trak harian dengan adanya ciri-ciri seperti Pro Power OnBoard yang merupakan penjana berkapasiti 2 kW dan sistem infotainmen SYNC 4 dengan Apple CarPlay dan Android Auto, serta opsyen sistem audio Bang & Olufsen.

Previous post

Daimler Dinamakan Semula Kepada Mercedes-Benz Spin Off Unit Bas Dan Lori

Next post

Jangan Tanggalkan Tint Kereta Anda Sebelum Anda Baca Ini

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *