Bisnes

Jualan Jaguar Land Rover Susut 23.6% Pada Tahun Lalu

Jaguar Land Rover (JLR) telah mengumumkan prestasi jualan mereka bagi tahun 2020 dan seperti kebanyakan pengeluar kenderaan yang lain, syarikat yang dimiliki oleh Tata Motors itu turut menerima kesan yang ketara dari penularan wabak COVID-19.

Bagi keseluruhan tahun 2020, JLR merekodkan jualan sebanyak 424,974 unit, jatuh 23.6% berbanding 2019. Daripada jumlah tersebut, 323,480 merupakan kenderaan jenama Land Rover, manakala 102,494 unit adalah Jaguar. Jika dibandingkan dengan jualan 2019, kedua-dua jenama tersebut mencatatkan penurunan sebanyak 18.3% dan 36.6%.

Bagaimanapun, syarikat itu dilihat berjaya memperbaiki kedudukan mereka dengan jualan sebanyak 113,569 unit pada suku ketiga, naik 53% berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Jualan terus meningkat pada suku keempat dengan 128,469 unit terjual setakat 31 Disember 2020. Jumlah itu mewakili peningkatan sebanyak 13.1% berbanding suku ketiga, namun 9.0% lebih rendah jika dibandingkan dengan suku keempat 2019.

Penerimaan JLR di China boleh dikatakan memberangsangkan dengan pertumbuhan jualan sebanyak 19.1% tahun ke tahun. Bagaimanapun, jualan di pasaran lain seperti Amerika Utara dan Eropah masih menunjukkan penurunan.

Tambah JLR, pelancaran Defender 90 secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan jualan Land Rover Defender dengan 16,286 unit terjual dari Oktober hingga Disember, naik 66% berbanding suku sebelumnya. Bagi Jaguar pula, jualan model elektrik sepenuhnya iaitu I-Pace turut menyaksikan peningkatan sebanyak 69.3% dengan 7,807 unit terjual pada suku tersebut.

Menurut syarikat itu, 53% daripada jualan keseluruhan pada tiga bulan terakhir tahun lalu terdiri daripada model elektrik, hibrid plug-in dan hibrid ringkas (mild-hybrid). Secara keseluruhannya, 43.3% daripada keseluruhan model yang dijual oleh syarikat itu pada 2020 terdiri daripada model-model tersebut.

Previous post

Hyundai Kona N Akan Hadir Dengan Enjin Turbo 2.0 Dan DCT 8 Kelajuan

Next post

Apple Mungkin Berpakat Dengan Hyundai Untuk Kereta Pertama Mereka

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *