Hibrid, Elektrik, Hidrogen

Volvo Car Malaysia Akan Perkenal Trenkuasa Recharge Baharu

Volvo Car Malaysia mengumumkan bahawa ia akan memperkenalkan trenkuasa hibrid plug-in (PHEV) Recharge yang dipertingkatkan pada semua model Recharge T8.

Berikut adalah antara kelebihan trenkuasa Recharge baharu ini:

  • Bateri jarak jauh baharu berkapasiti 18.8 kWj (sebelum ini 11.6 kWj)
  • Motor elektrik belakang baharu yang menghasilkan 145 hp, meningkat sebanyak 57 hp berbanding sebelum ini
  • Jarak pemanduan elektrik yang lebih jauh iaitu 90 km berbanding 40 km hingga 49 km sebelum ini
  • Prestasi CO2 yang lebih baik
  • Kuasa keseluruhan meningkat dari 407 hp kepada 462 hp
  • Pengenalan fungsi One-Pedal Drive pada model XC60 dan S90 PHEV

Menurut Volvo, bateri baharu itu mempunyai lapisan sel ketiga yang dibina untuk meningkatkan tenaga nominal daripada 11.6 kWj kepada 18.8 kWj, sekaligus membolehkan motor elektrik belakang menjana 145 hp.

Kuasa elektrik tambahan itu pula meningkatkan kuasa keseluruhan kepada 462 hp, menawarkan jarak pemanduan elektrik antara 70 hingga 90 km. Penambahbaikan ini secara tidak langsung menghasilkan perjalanan yang lebih bersih dengan pelepasan karbon yang lebih rendah.

Berasaskan Scalable Product Architecture (SPA), trenkuasa baharu tersebut akan ditampilkan pada semua model Volvo Recharge PHEV termasuk XC90, S90, XC60, S60 dan V60.

Bukan itu sahaja, XC60 dan S90 PHEV juga akan mendapat fungsi One-Pedal Drive yang membolehkan pemilik memandu secara lebih intuitif dalam trafik gerak dan henti (stop and go). Juga digunakan dalam model-model elektrik sepenuhnya, fungsi ini menawarkan penjanaan semula bateri (battery regeneration) yang lebih efektif bagi meningkatkan kecekapan bahan api.

“Barisan PHEV baharu kami akan mengubah cara pelanggan kami menikmati pemanduan elektrik. Trenkuasa yang dipertingkatkan itu membolehkan pelanggan kami memandu secara mampan pada jarak yang lebih jauh, pada masa yang sama memberikan mereka keyakinan yang sesuai dengan keperluan gaya hidup mereka,” kata Charles Frump, Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia.

Selain itu, Volvo Car Malaysia juga turut melaraskan harga semua kenderaan mereka bermula 1 Mei 2022. Pelarasan harga ini bermula dengan model-model semasa Volvo iaitu XC40 T5, XC40 Recharge T5, XC60 B5 dan XC90 B5, manakala model Siri 90 dan 60 akan dijual pada harga baharu selepas ia dilancarkan. Harga model Recharge T8 yang sedia ada pula dikekalkan dan akan dijual sementara stok masih ada.

Previous post

MPV Mewah Denza D9 Dilancarkan Di China - Harga Dari RM217k

Next post

Aprilia SR GT 200 Dilancarkan Di Malaysia - RM19,900

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *