Motosikal / Lain Lain Roda

Aprilia SR GT 200 Dilancarkan Di Malaysia – RM19,900

Didi Group, pengedar rasmi motosikal Aprilia di Malaysia, secara rasminya melancarkan Aprilia SR GT 200 ke pasaran tempatan. Tersedia dalam varian asas dan Sport, skuter kembara urban itu didatangkan dengan harga pengenalan RM19,900.

Kuasa dibekalkan oleh enjin 174 cc silinder tunggal daripada barisan enjin i-Get. Ia menghasilkan 17.4 hp (13 kW) pada 8,500 rpm dan 16.5 Nm tork pada 7,000 rpm, yang kemudiannya disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi jenis CVT.

Enjin tersebut mematuhi piawaian emisi Euro 5 dan dilengkapi dengan sistem Start & Stop yang membantu meningkatkan penjimatan bahan api dalam trafik gerak dan henti. Bercakap tentang bahan api, ia disimpan di dalam tangki berkapasiti sembilan liter yang dikatakan dapat memberikan jarak tunggangan sejauh 350 km dengan satu tangki penuh.

Dari segi dimensi, SR GT mempunyai ukuran panjang 1,920 mm dan lebar 765 mm, dengan tapak roda sepanjang 1,350 mm. Tempat duduk pula berada pada kedudukan 799 mm dari tanah.

Casisnya pula adalah jenis kerangka tiub keluli double-cradle yang digabungkan dengan fork teleskopik pada bahagian depan dan penyerap hentak berkembar dengan pelarasan pra-muatan pada bahagian belakang. Fork tersebut menyediakan jarak pergerakan (travel) sebanyak 120 mm, manakala penyerap hentak itu pula 102 mm.

Sistem brek terdiri daripada cakera tunggal 260 mm di depan dan cakera 220 mm di belakang, manakala rim aloi – yang berukuran 14 inci di depan dan 13 inci di belakang – dipadankan dengan tayar jenis all-terrain. ABS pula hanya tersedia pada roda depan.

Selain itu, SR GT menampilkan kluster lampu LED dan double-fairing dengan rekaan yang diinspirasikan oleh motosikal enduro. Turut disertakan adalah panel instrumen LCD yang memaparkan semua data berkaitan kenderaan dan informasi perjalanan. Bagaimanapun, sistem ketersambungan Aprilia MIA ditawarkan sebagai opsyen.

Akhir sekali, terdapat enam pilihan warna untuk SR GT, tiga untuk varian asas (Aprilia Black, Infinity Blue dan Street Grey) dan tiga untuk Sport (Street Gold, Red Raceway dan Iridium Grey).

Previous post

Volvo Car Malaysia Akan Perkenal Trenkuasa Recharge Baharu

Next post

Aprilia Tuareg 660 Kini Di Malaysia Pada Harga RM75,900

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *