Berita Auto

MPV Mewah Denza D9 Dilancarkan Di China – Harga Dari RM217k

Jualan dalam segmen MPV mungkin semakin merudum namun ini tidak menghalang Denza, sebuah syarikat usaha sama antara BYD Auto dan Mercedes-Benz, daripada melancarkan model MPV D9 ke pasaran China.

Pertaruhan untuk memperkenalkan sesuatu yang bukan crossover atau SUV nampaknya membuahkan hasil kerana Denza mengumumkan bahawa lebih 3,000 tempahan telah diterima untuk D9 dalam tempoh 30 minit selepas ia dilancarkan.

D9 merupakan sebuah model MPV premium yang ditawarkan dalam versi hibrid plug-in atau kenderaan elektrik bateri (BEV), dengan pilihan empat atau tujuh tempat duduk. Dengan ukuran panjang 5.25 meter, lebar 1.96 meter dan tinggi 1.92 meter, ia sedikit lebih panjang dan tinggi jika dibandingkan dengan Kia Carnival. Ukuran tapak roda pula adalah 3.11 meter, 50 cm lebih panjang berbanding MPV Korea itu.

Dari segi reka bentuk, D9 mengikuti trend segmen mewah dengan menampilkan gril besar yang merangkumi hampir keseluruhan bahagian depan. Seperti yang boleh dilihat, terdapat dua jenis corak gril yang ditawarkan – satu kelihatan tidak ubah seperti gril Toyota Alphard, manakala satu lagi menampilkan jalur krom menegak. Di belakang pula terdapat bar lampu melintang a la Carnival.

Ruang dalaman pula mempunyai banyak skrin iaitu tiga di depan, dua pada bahagian belakang tempat duduk depan dan dua lagi pada perehat tangan tempat duduk barisan kedua, menjadikan kesemuanya tujuh skrin. Apa yang menarik, kedua-dua skrin pada tempat duduk itu mempunyai kamera 8MP yang boleh digunakan untuk panggilan persidangan atau memantau kanak-kanak.

Ciri-ciri keselesaan dan kemudahan lain yang disertakan termasuk peti sejuk mini, kerusi kapten dengan pelarasan 10 hala, perehat kaki, fungsi pemanas, penyejuk dan urut, serta pengecas pantas wayarles 50 kW. Bukan itu sahaja, bumbung kaca panoramik dan tempat duduk belakang yang lebih panjang turut menjadikan perjalanan jarak jauh lebih selesa.

Di bawah bonet, versi hibrid plug-in menampilkan enjin turbo 1.5-liter yang digabungkan dengan sebuah motor elektrik. Trenkuasa yang menyokong pengecasan pantas 80 kW itu menawarkan jarak pemanduan sejauh 945 km hingga 1,040 km, jarak pemanduan elektrik sejauh 190 km, dan juga kadar penggunaan bahan api serendah 6.2 liter bagi setiap 100 km.

Sementara itu, tidak banyak maklumat mengenai versi BEV namun menurut CarNewsChina, ia mampu dipandu sejauh 600 km dengan satu cas penuh.

Harga untuk D9 bermula dari 335,000 hingga 445,000 RMB (RM297,897 hingga RM289,445) untuk varian hibrid, dan dari 390,000 hingga 460,000 RMB (RM253,671 hingga RM299,202) untuk BEV. Denza turut menawarkan versi ultra-mewah dengan empat tempat duduk yang dikenali sebagai ‘Founding Version’ pada harga 660,000 RMB (RM429,290). Versi ini ditawarkan dalam bilangan yang terhad iaitu 99 unit sahaja.

Previous post

Golongan T20 Nikmati Sebahagian Besar Subsidi Petroleum

Next post

Volvo Car Malaysia Akan Perkenal Trenkuasa Recharge Baharu

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *