Berita Auto

Tayar BFGoodrich Trail-Terrain T/A Kini Di Malaysia

Michelin Malaysia hari ini melancarkan tayar premium “on-road plus” BFGoodrich Trail-Terrain T/A ke pasaran tempatan. Menurut syarikat itu, ia dirumus dengan ciri ketahanan yang tinggi, sesuai dalam semua musim, dan direka untuk mengharungi pelbagai jenis cuaca dan kondisi jalan.

Pengarah Urusan Michelin Malaysia, Oliver Biggart berkata,“BFGoodrich Trail-Terrain T/A bersedia untuk melengkapi trend DIY dan pengembaraan para pemilik kenderaan utiliti crossover (CUV), kenderaan utiliti lasak (SUV), dan trak ringan berpacuan semua roda (AWD). Jenis-jenis kenderaan kembara ini dipilih kerana versatilitinya untuk membolehkan pengguna berhobi, mengangkut barangan, selain melakukan aktiviti rekreasi di luar.”

BFGoodrich Trail-Terrain T/A membawakan tiga kelebihan utama seperti berikut:

  • Berketahanan tinggi (Built to Last) – Disumbangkan oleh reka bentuk permukaannya yang dioptimumkan di mana Alur Mengunci 3D tayar ini membekalkan kestabilan blok bunga tayar yang tinggi untuk menjamin kehausan yang sekata, menjurus kepada hayat yang lebih panjang, di samping pemanduan yang lebih senyap dan menyelesakan. Tayar ini didatangkan dengan dengan waranti pengeluar bertempoh enam tahun.
  • Sesuai untuk semua keadaan (Equipped for All Conditions) – Hadir dengan penarafan ‘three-peak mountain snowflake’ (3PMSF), tayar ini mampu mengharungi salji dan dapat membekalkan cengkaman walaupun paras merkurinya telah lama menyusut.
  • Direka untuk meneroka (Engineered to Explore) – Tayar ini direka untuk tahan menyerpih dan kesan koyakan yang berpotensi diakibatkan oleh pemanduan yang sesekali dibuat di atas jalan berbatu. Reka bentuk Bahu Bergerigi dioptimumkan untuk mencengkam tanah lembut tanpa mengkompromikan bunyi hingar jalan raya.

Kini disediakan di pusat-pusat pengedaran bertauliah Michelin yang terpilih di seluruh negara, BFGoodrich Trail-Terrain T/A baharu didatangkan dalam 41 saiz (23 bertaraf-T dan 18 bertaraf-H) yang mencakupi semua pemasangan peralatan original (OE) yang utama bagi CUV, SUV, serta trak ringan.

Previous post

Kempen GOLADIES Tawar Diskaun Servis 70% Untuk Wanita

Next post

Banjir Besar Melanda Kuala Lumpur Sekali Lagi. Apa Pula Alasan Kali Ini?

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *