Hibrid, Elektrik, Hidrogen

smart #1 Ialah Nama Rasmi Crossover Elektrik Jenama Itu

Seperti yang anda mungkin tahu, smart akan memasuki era baharu tahun ini menerusi pelancaran model pertamanya yang dibangunkan di bawah pemilikan bersama antara Mercedes-Benz dan Geely.

Syarikat itu baru-baru ini mengumumkan bahawa model itu, yang merupakan sebuah crossover elektrik, akan dinamakan sebagai #1.

Menurut smart, pemilihan simbol # (tanda pagar) dan nombor dalam penamaan modelnya adalah selaras dengan sasaran syarikat itu menjadi ‘trendsetter’ dalam era digital, memandangkan simbol itu sering digunakan untuk menandakan topik-topik terhangat dalam media sosial.

Dipertontonkan menerusi model konsep ‘Concept #1’ di acara IAA Show Munich 2021, crossover elektrik ini baru sahaja selesai menjalani siri ujian aerodinamik dan musim sejuk sebagai persiapan untuk pelancarannya di China dan Eropah pada tahun ini.

Ujian aerodinamik yang dilakukan di China Automotive Engineering Research Institute di Chongqing menunjukkan smart #1 mempunyai kadar pekali seret yang agak rendah jika dibandingkan dengan pesaing-pesaingnya iaitu 0.29.

Ini penting kerana pekali seret boleh mempengaruhi penggunaan tenaga, jarak pemanduan, bunyi angin dan kestabilan pada kelajuan tinggi sesuatu kenderaan itu.

Pencapaian ini disumbangkan oleh bahasa reka bentuk Sensual Producty yang diperkenalkan oleh pasukan reka bentuk global Mercedes-Benz. Ia merangkumi pemegang pintu yang tersembunyi, pakej aerodinamik yang efektif dan juga penutup gril aktif (Active Grille Shutter atau AGS) yang dilengkapi secara standard.

Dalam ujian musim sejuk yang diadakan di utara China pula, smart #1 dikatakan berjaya mengekalkan suhu bateri pada tahap optimum walaupun dipandu dalam keadaan suhu sekitar -40 ℃. Malah, pemandu boleh memanaskan bateri secara automatik terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan menerusi aplikasi smart atau panel kawalan di dalam kabin.

Bukan itu sahaja, pemegang pintu tersembunyi berkenaan dilengkapi dengan fungsi pemecah ais yang membolehkan pemandu membuka pintu walaupun kereta diselaputi dengan ais.

Selain itu, smart #1 turut menunjukkan kemampuannya untuk menangani jalan bersalji dan berais terima kasih kepada sistem ESP oleh Bosch dan pacuan elektrik sepenuhnya yang menjanjikan pemanduan yang selesa, pengendalian yang stabil serta prestasi pecutan dan brek yang baik.

Selain China dan Eropah, smart #1 juga akan dilancarkan di negara-negara ASEAN termasuk Malaysia dan Thailand, di mana ia akan diedarkan secara rasmi oleh Proton seperti yang diumumkan pada bulan lalu.

Previous post

Bilakah Ulat Trak Tunda Akan Diberkas Kerana Menyebabkan Kemalangan?

Next post

Kerajaan Sasar Tambah Jumlah Stesen Pengecas EV Dengan Kos Lebih Murah

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *