Kemalangan / Rosak / Recall

Menurut Zurich Malaysia 59% Kereta Malaysia Masih Tiada Perlindungan Banjir

Hujan lebat diramalkan pada penghujung tahun 2021 namun hanya lebih kurang separuh daripada pemilik kenderaan Malaysia mempunyai perlindungan banjir.

Kajian terbaru yang dijalankan oleh Zurich Malaysia mendapati bahawa lebih separuh daripada pemandu Malaysia tidak memilih perlindungan kerosakan banjir. Di negara yang mempunyai hujan sepanjang tahun dan musim tengkujuh yang teruk, perkara ini membimbangkan.

Tinjauan Kesan Pandemik terhadap Perlindungan Zurich Malaysia mendapati bahawa sebanyak 59% pemandu tidak dilindungi secukupnya daripada kerosakan banjir kerana mereka tidak sedar atau kerana mereka fikir mereka tidak akan terjejas. Malah tidak ramai (34%) dilindungi untuk kerosakan yang kerana ribut, dan 29% dilindungi untuk kerosakan tanah runtuh.

Memandangkan Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan bahawa antara 450mm dan 1000mm hujan dijangka antara dua bulan terakhir 2021 ini, jumlah yang rendah ini pastinya membimbangkan. Jumlah hujan ini jauh lebih tinggi daripada purata dan kami sudah melihat banyak kejadian banjir dan tanah runtuh berlaku.

Kajian itu mengatakan bahawa hanya kira-kira 47% pemilik kenderaan tahu akan kandungan perlindungan mereka, bukti bahawa insurans motor adalah sesuatu yang dibeli oleh ramai pemandu kerana terpaksa bukan kerana perlindungan.

Ini siaran media Zurich dengan lebih maklumat.

Siaran Media

59% pemandu Malaysia masih tidak dilindungi untuk kerosakan akibat banjir
* Kaji selidik Zurich Malaysia mendapati rakyat Malaysia tidak bersedia menghadapi musim tengkujuh
* Hanya satu daripada tiga pemandu (34%) dilindungi daripada kerugian akibat ribut (termasuk pokok tumbang) dan hanya 29% daripada tanah runtuh

Kuala Lumpur, 23 November 2021 – Zurich Malaysia mendapati bahawa 59% daripada pemandu Malaysia masih tidak mempunyai kelindungan yang mencukupi terhadap kerosakan akibat banjir sebagai salah satu daripada penemuan Kaji Selidik Impak Pandemik terhadap Perlindungan. Pengguna jalan raya mungkin mengalami kerugian besar jika mereka tidak bersedia dan beranggapan bahawa mereka tidak akan terjejas.

Dapatan ini membimbangkan kerana Malaysia kerap mengalami musim tengkujuh, seperti musim Monsun Timur Laut yang melanda dari November hingga Mac tahun depan. Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan amaran kepada beberapa buah negeri yang dijangka mempunyai taburan hujan yang lebih tinggi daripada purata antara 450 mm dan 1,000 mm pada bulan November dan Disember.

Selain banjir, tanah runtuh dan pokok tumbang adalah risiko yang pengguna jalan raya Malaysia tidak bersedia menghadapi. Hanya satu bagi setiap tiga pengguna jalan raya (34%) mempunyai perlindungan untuk ribut, termasuk pokok tumbang, dan hanya 29% dilindungi untuk tanah runtuh.

Kaji selidik ini juga mendapati bahawa dari segi pembaharuan insurans dan takaful kenderaan, rakyat Malaysia masih menggunakan ejen untuk berbuat demikian. Daripada 990 responden yang memiliki kenderaan bermotor, 38% memilih untuk menggunakan ejen walaupun terdapat portal dalam talian.
Namun begitu, portal dalam talian adalah kaedah yang paling popular dengan 43% daripada pengguna jalan raya menggunakannya. Ini menunjukkan kepentingan teknologi dalam pasaran hari ini. Sementara itu, 16% daripada rakyat Malaysia memilih untuk mengunjungi kios atau pejabat pos bagi memperbaharui insurans atau takaful kenderaan mereka.

Dari segi perlindungan insurans dan takaful kenderaan, trend yang perlu diberi perhatian ialah kebanyakan rakyat Malaysia memilih pelan yang meliputi semua pemandu (36%), dan bukannya hanya pemandu yang dinamakan dalam polisi (34%). Ini amat berguna jika pemilik kereta berada di dalam kenderaan tetapi tidak memandu, seperti mengambil gilaran untuk memandu dalam perjalanan rentas negeri yang panjang.

Sesetengah rakyat Malaysia mungkin mendapatkan perlindungan semata-mata untuk memiliki insurans atau takaful kenderaan yang sah supaya dapati memperbaharui cukai jalan. Ini kerana 47% daripada responden melaporkan mereka tidak pasti kandungan pelan perlindungan mereka.

Dijalankan pada September 2021, kaji selidik tersebut melibatkan 1,201 rakyat Malaysia di seluruh negara, di mana 990 daripadanya adalah pemilik kenderaan. Ia merupakan usaha Zurich Malaysia untuk memahami landskap pengguna tempatan dan mereka bentuk pelan perlindungan yang sesuai dengan keperluan gaya hidup supaya dapat membina masa depan yang lebih cerah bersama.

Previous post

Yamaha Tracer 9 GT Dilancarkan - Harga Dari RM69,498

Next post

Ford Ranger Generasi Baharu Diperkenalkan Secara Rasmi

Ross Hadi

Ross Hadi

21 tahun mengacara di radio.
8 tahun bersama Daniel Ferrnandez dalam rancangan Car Tunes di radio.
Kini di sini dan media sosial sejak 2014.

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *