Trak Pikap, Van, MPV, Bas & Lori

Ford Ranger Generasi Baharu Diperkenalkan Secara Rasmi

Ford akhirnya memperkenalkan trak pikap Ranger generasi baharu setelah beberapa kali mengacahnya sejak beberapa bulan yang lalu. Hadir dengan penampilan lebih segar serta teknologi dan enjin baharu, trak pikap itu akan dibuka untuk tempahan di Eropah pada lewat tahun hadapan.

Pertama sekali, Ranger diberi ‘wajah’ baharu yang kelihatan tidak ubah seperti Maverick dengan lampu nyalaan siang berbentuk C. Lebih menarik lagi, model ini boleh didapati dengan lampu Matrix LED buat pertama kali dalam sejarahnya. Lampu belakang pula direka supaya harmoni dengan grafik pada bahagian hadapan.

Di sebalik rekaan baharu ini, Ranger menampilkan casis yang telah dinaik taraf, dengan ukuran tapak roda dan track masing-masing bertambah sebanyak 50 mm. Bahagian hadapan struktur ini dibentuk secara hidro bagi menghasilkan ruang yang lebih besar untuk enjin baharu dan teknologi lain pada masa hadapan, serta membolehkan lebih banyak udara dihala ke arah radiator.

Sementara itu, bahagian bed di belakang kini mempunyai pelapik plastik yang membantu melindungi bed daripada kesan calar dan lutut pemandu. Selain poin mengikat kargo pada rel tiub keluli, Ranger turut menawarkan sistem pengurusan kargo baharu yang direka untuk menyimpang barangan pelbagai saiz seperti kayu dan kotak alatan. Tailgate boleh dijadikan sebagai meja dan dilengkapi dengan pembaris dan kapit untuk kerja-kerja memotong bahan binaan.

Bukan itu sahaja, Ford turut menyertakan pemijak di belakang tayar belakang, serta sistem pencahayaan 360 darjah pada bahagian bawah badan untuk memudahkan pemandu melihat keadaan sekeliling trak pada waktu malam.

Mengambil kira maklum balas pelanggan yang inginkan kuasa dan tork yang lebih tinggi, Ford menawarkan enjin 3.0-liter turbodiesel V6 baharu yang dibangunkan khas untuk Ranger. Jumlah kuasa yang dihasilkan masih belum didedahkan, namun menurut pengurus program Ranger, Pritika Maharaj, enjin baharu itu lebih “lasak” dan mempunyai kuasa dan tork yang “tidak berkesudahan”.

Selain itu, Ranger baharu juga boleh didapati dengan enjin diesel 2.0-liter empat silinder Single-Turbo dan Bi-Turbo seperti yang ada sekarang, serta enjin petrol EcoBoost 2.3-liter. Bergantung pada enjin, terdapat transmisi automatik enam dan 10 kelajuan, dan manual enam kelajuan. Pelanggan diberikan dua pilihan sistem pacuan empat roda, satu dengan sistem Shift-on-the-Fly satu lagi dengan sistem 4X4 sepenuh masa dengan mod Set & Forget.

Di dalam, elemen utama merupakan skrin sentuh berukuran 10.1 inci (atau 12 inci, bergantung pada varian) yang memberikan akses kepada sistem infohibur SYNC4. Skrin ini disambungkan kepada kamera 360 darjah yang memudahkan parkir terutamanya di kawasan urban. Selain itu, Ranger juga mendapat kluster instrumen digital, tombol gear baharu dan brek parkir elektronik.

Previous post

Menurut Zurich Malaysia 59% Kereta Malaysia Masih Tiada Perlindungan Banjir

Next post

Gudang Kereta 'Half Cut' Terkenal Musnah Dalam Kebakaran

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *