Motosikal / Lain Lain Roda

Yamaha Tracer 9 GT Dilancarkan – Harga Dari RM69,498

Selepas melancarkan Yamaha MT-09 kira-kira dua minggu yang lalu, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) kini memperkenalkan pula model sports touring Yamaha Tracer 9 GT yang tiba sebagai pengganti Tracer 900 GT.

Model baharu ini dikuasakan oleh enjin CP3 tiga silinder bersesaran 889 cc yang menghasilkan 117 hp pada 10,000 rpm dan 93 Nm pada 7,000 rpm. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 4 hp dan 5.5 Nm berbanding enjin 847 cc yang digunakan pada Tracer 900.

Yamaha Tracer 9 GT

Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi enam kelajuan yang menyalurkan kuasa menerusi klac Assist & Slipper, serta sistem Quickshifter. Menurut Yamaha, nisbah transmisi ini telah dioptimumkan dengan nisbah gear pertama dan kedua yang lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Untuk casis pula, Tracer 9 GT menampilkan kerangka aluminium ringan baharu dengan subframe keluli yang lebih kukuh. Sistem suspensi pula terdiri daripada suspensi elektronik KYB yang menyediakan daya redaman berdasarkan keadaan tunggangan semasa. Ia mempunyai dua mod iaitu Sport dan Comfort.

Sistem elektronik utama yang terdapat pada jentera ini adalah Unit Pengukuran Inersia (IMU) enam paksi yang merangkumi tiga sistem bantuan penunggang iaitu Traction Control System (TCS), Slide Control System (SCS) dan Front-Wheel LIFt Control System (LIF).

Bukan itu sahaja, model ini juga didatangkan dengan Cruise Control yang boleh diaktifkan pada kelajuan sekurang-kurangnya 50 km/j dalam gear empat dan ke atas untuk tunggangan yang lebih mudah dan selesa.

Kelengkapan lain yang disertakan termasuk lampu LED, lampu membelok LED dan paparan TFT warna penuh berkembar berukuran 3.5 inci.

Tracer 9 GT boleh didapati di semua wakil pengedar Yamaha Big Bike di seluruh negara bermula 25 November 2021. Ditawarkan dalam warna Icon Performance dan Redline, ia dijual pada harga RM69,498 tidak termasuk insurans dan pendaftaran. 300 pelanggan pertama akan mendapat kantung kunci Royal Selangor, manakala setiap pembelian didatangkan dengan kunci cakera.

Previous post

Great Wall Motor Melancarkan Satu Lagi Jenama Tahun Ini - Saloon

Next post

Menurut Zurich Malaysia 59% Kereta Malaysia Masih Tiada Perlindungan Banjir

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *