Hibrid, Elektrik, Hidrogen

Porsche Mission R – Kereta Lumba Elektrik Masa Depan

Porsche bukanlah jenama yang asing dalam bidang perlumbaan pelanggan (customer racing). Sejak permulaan kejohanan Porsche Carrera Cup Deutschland 31 tahun yang lalu, syarikat itu telah menyerahkan lebih 4,400 unit kereta lumba Cup. Kini, Porsche ingin membawa portfolio perlumbaannya ke satu tahap lebih tinggi menerusi kereta lumba elektrik konsep Mission R yang baru sahaja diperkenalkan di Munich.

Menurut Porsche, Mission R memberikan petunjuk kepada masa depan siri perlumbaan ‘one-make’ dengan jentera elektrik. Badannya diperbuat daripada plastik bertetulang gentian semulajadi (NFRP) dengan Drag Reduction System (DRS) yang terdiri daripada tiga bilah pada lubang ambilan udara pada bahagian hadapan dan spoiler boleh laras dua peringkat pada bahagian belakang.

Dengan ukuran panjang 4,326 mm, lebar 1,990 mm dan tinggi 1,190 mm, kereta lumba elektrik ini sebenarnya lebih pendek daripada 718 Cayman, namun ia lebih lebar dan rendah jika dibandingkan dengan model produksi itu.

Ruang dalamannya pula memfokuskan sepenuhnya kepada pemandu, dengan paparan yang diletakkan secara ergonomik pada stereng menunjukkan data-data relevan semasa perlumbaan. Selain itu, terdapat juga monitor di atas kolum stereng yang memaparkan imej daripada kamera cermin sisi dan kamera pandang belakang. Skrin sentuh pada sebelah kanan tempat duduk pula menyediakan akses kepada data biomterik pemandu.

Bukan itu sahaja, Porsche turut mereka struktur bumbung karbon “exoskeleton” yang menggabungkan sangkar keselamatan dan panel bumbung.

Menguasakan Mission R adalah sepasang motor elektrik baharu, dengan unit berkuasa 435 PS memacu gandar hadapan dan unit 635 PS pada gandar belakang. Gabungan ini menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 680 PS dalam mod Race. Bagaimanapun, dalam mod Qualifying, ia menjana 1,088 PS, sekaligus membolehkan jentera ini melakukan pecutan 0-100 km/j dalam kurang 2.5 saat, dengan kelajuan maksimum melebihi 300 km/j.

Dengan sistem 900 volt (lebih tinggi berbanding Taycan yang mempunyai sistem 800 volt) dan teknologi Porsche Turbo Charging yang membolehkan pengecasan pantas pada kapasiti sehingga 340 kW, bateri 80 kWh yang digunakan oleh Mission R boleh dicas dari lima hingga 80 peratus dalam masa hanya 15 minit.

Setakat ini, Porsche masih belum mengesahkan jika Mission R akan memasuki fasa produksi, namun kemungkinan untuk ia berlaku adalah tinggi memandangkan kedua-dua model konsep Mission E dan Mission E Cross Turismo akhirnya menjadi model produksi Taycan dan Taycan Cross Turismo tidak lama selepas mereka diperkenalkan.

Previous post

Polis Buat Sekatan Jalan Raya Di 'Port' Lumba Haram Popular

Next post

Spesifikasi Model Jaguar C-Type Continuation Didedahkan

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *