Pandu Uji

Pengalaman Memandu Porsche Taycan Di Litar Antarabangsa Sepang


Elektrifikasi bukanlah satu perkara yang asing bagi Porsche. Pada tahun 1898, kira-kira 50 tahun sebelum jenama Porsche wujud, pengasasnya iaitu Ferdinand Porsche telah menghasilkan Egger-Lohner C.2 Phaeton, sebuah kereta berbentuk seperti pedati kuda yang dikuasakan oleh sebuah motor elektrik.

BHPetrol_Euro5-Diesel_Web-Banner_BM_GoHedGostan_650x85_FA-24

Dua tahun kemudian, beliau mengejutkan dunia dengan kereta pertama yang mempunyai sistem pacuan hibrid iaitu Lohner-Porsche Semper Vivus. Walaupun teknologi yang digunakan amat canggih pada zaman itu, faktor-faktor seperti berat, kekurangan infrastruktur dan jarak pemanduan yang terhad menyebabkan ia gagal berkembang.

Namun, kegagalan itu bukanlah pengakhiran buat jenama Porsche dalam usahanya untuk mengejar elektromobiliti. Selepas lebih 100 tahun, idea itu dihidupkan semula menerusi Cayenne S Hybrid, diikuti oleh Panamera S Hybrid. Malah, Porsche turut menggunakan teknologi hibrid dalam sukan permotoran menerusi jentera lumba 911 GT3 R Hybrid dan dengan pengetahuan yang diperoleh, mereka membangunkan hypercar hibrid plug-in (PHEV) iaitu 918 Spyder.

Enam tahun kemudian iaitu pada 2019, pengeluar dari Stuttgart itu menandakan permulaan era baharunya menerusi kenderaan elektrik produksi pertama mereka iaitu Taycan. Ramai yang teruja denga kehadiran kereta sport elektrik itu namun tidak kurang juga ada yang agak ragu-ragu dengannya dan mempersoalkan sama ada ia layak atau tidak memakai lencana Porsche.

Porsche Taycan

Pendek kata, banyak persoalan yang timbul mengenai Taycan sejak ia dilancarkan di peringkat global.

“Mampukah ia menandingi 911?”

“Adakah teknologi yang digunakan mampu bertahan di negara bercuaca panas dan lembap sepanjang tahun seperti Malaysia?”

Dan yang paling popular, “Adakah ia sebuah Porsche yang sebenar?”

Bagi menjawab persoalan dan menghapuskan segala keraguan yang ada, pengedar rasmi kenderaan Porsche di Malaysia iaitu Sime Darby Auto Performance (SDAP) telah menjemput pihak media untuk menyertai sesi pandu uji Taycan di Litar Antarabangsa Sepang.

Daripada empat varian yang ditawarkan di Malaysia – Taycan, Taycan 4S, Taycan Turbo dan Taycan Turbo S – kami diberi peluang untuk mencuba dua daripadanya iaitu 4S dan Turbo . Terdapat dua aktiviti pemanduan yang disediakan pada hari itu iaitu ‘drag race’ di laluan lurus di litar selatan dan sesi pemanduan dengan bimbingan jurutunjuk terlatih di litar utara.

Bagi aktiviti pertama iaitu ‘drag race’, penulis bermula dengan Taycan Turbo. Dalam mod Normal, tujahan 625 PS (460 kW) dan 850 Nm terbukti sudah cukup kuat untuk membuatkan kepala penulis terbenam di perehat kepala sebaik sahaja pendikit ditekan. Sukar untuk menggambarkan perasaan ketika ini kerana daya G yang terhasil ketika ia memecut memang jauh berbeza dengan mana-mana kereta berprestasi yang pernah dipandu sebelum ini.

Jika mod Normal sudah cukup untuk membuatkan jantung penulis berdebar-debar, apatah lagi mod Sport dan Sport Plus yang menjanjikan respon pendikit yang lebih pantas. Mod Sport Plus mempunyai satu kelebihan yang tidak terdapat pada mod-mod lain iaitu ciri Launch Control. Ia diaktifkan dengan memijak pedal brek sepenuhnya, diikuti dengan pedal pendikit.

Sebaik sahaja pedal brek dilepaskan, kuasa overboost 680 PS (500 kW) dari kedua-dua motor elektrik dan sistem pacuan semua roda akan terus melontar kereta ini ke hadapan dan sedar-sedar speedometer menunjukkan kelajuan melebihi 100 km/j dan kereta sudah menghampiri penghujung landasan. Bagaikan mentol yang menyala sebaik sahaja suis dipetik, begitulah cepatnya kuasa Taycan Turbo disalurkan ke roda.

Dari Taycan Turbo, penulis beralih pula ke varian yang diposisikan satu tangga di bawahnya iaitu Taycan 4S. Dengan 435 PS (320 kW) dan 640 Nm, dan overboost yang melonjakkan kuasanya ke 530 PS (390 kW), ia tidaklah menakutkan seperti varian Turbo namun tujahan kuasanya boleh dikatakan masih berbisa dan tidak jauh berbeza dengan jentera berenjin twin-turbo V8. Bagi mereka yang ingin berjinak-jinak dengan jentera berprestasi tinggi, varian ini dirasakan sudah cukup memadai.

Dalam sesi kedua, penulis berpeluang untuk menguji sejauh mana kehebatan dinamik Taycan 4S di bahagian utara litar Sepang yang merangkumi selekoh 1 hingga selekoh 6. Berlepas dari pit, kami memasuki selekoh 1 dan 2 pada kelajuan sederhana. Ketika ini, ketangkasan casis jentera ini sudah boleh dirasakan apabila menujukkan respon yang cemerlang terhadap input stereng.

Walaupun mempunyai berat sekitar 2.2 tan disebabkan kehadiran pek bateri, gabungan kedudukan pusat graviti yang rendah, sistem stereng roda belakang dan talaan suspensi memberikan Taycan karakter pengendalian yang tidak ubah seperti sebuah kereta sport kompak. Malah, apabila stereng diputar dengan agresif untuk memasuki selekoh 2, badannya bertindak balas dengan perubahan berat dengan begitu tenang dan meyakinkan.

Ini ditambah lagi dengan ‘feel’ stereng yang sangat memuaskan. Walaupun menggunakan sistem kuasa elektrik, ia memberikan tindak balas yang tulen dan rasanya juga tidak terlalu ringan. Dalam konteks pemanduan di litar, ia membantu penulis menghalakan bahagian hadapan kereta ke arah yang dikehendaki dengan lebih mudah dan tepat, seterusnya membolehkan penulis melayan selekoh dengan lebih pantas.

Sistem brek jentera ini juga tidak kurang hebatnya. Berdasarkan pengalaman penulis, mana-mana kereta yang mempunyai sistem brek janaan semula biasanya mempunyai tindak balas pedal yang kurang enak. Ini tidak dirasakan dengan Taycan, yang pada pendapat penulis mempunyai ‘pedal feel’ yang amat memuaskan, membolehkan penulis mengagak sejauh mana pedal perlu dipijak dengan lebih tepat.

Ramai orang berkata bahawa ketiadaan enjin pembakaran dalam membuatkan kereta elektrik bosan dipandu dan seolah-olah ia tiada ‘jiwa’. Benar, bunyi enjin dan ekzos memainkan peranan yang penting dalam mendatangkan keterujaan apabila anda berada di belakang stereng, namun dengan Taycan, perasaan itu dibangkitkan dengan cara Porsche tersendiri.

Apa yang dimaksudkan adalah bunyi ‘elektrik’ (digelar sebagai Electric Sport Sound) yang disalurkan ke dalam kabin apabila anda mula memandu. Bunyi ini kedengaran lebih jelas dalam mod Sport Plus dan menjadi lebih nyaring apabila kenderaan mencapai kelajuan yang lebih tinggi. Penulis tidak mempunyai perkataan yang tepat untuk menggambarkan bunyi ini, namun ia mengingatkan penulis pada bunyi Light Cycle dari filem Tron. Apa yang lebih penting, ia membuatkan penulis seolah-olah berada di masa hadapan dan secara tidak langsung, menjadikan pemanduan lebih menyeronokkan.

Walaupun sesi pemanduan pada hari itu agak pendek, ia terbukti sudah cukup untuk membuktikan yang Taycan sebenarnya cukup layak memakai lencana Porsche. Ketiadaan enjin ‘boxer’ enam silinder yang mampu mengaum pada julat rev yang tinggi tidak menghalangnya untuk memberikan penulis stimulasi aural. Bagi penulis, ia mempunyai apa sahaja yang dimiliki oleh model-model Porsche yang lain seperti 911 dan Panamera – rupa, kuasa, dan kelincahan. Tidakkah ini sudah cukup untuk menjadikannya sebuah Porsche yang sebenar?

Previous post

Trak Pikap VW Amarok Mungkin Dilancarkan Di Malaysia

Next post

8 Kelebihan Stesen Penukaran Bateri Geely

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *