Cerita Auto

Hyundai Elantra N Hadir Dengan 280 PS, Transmisi DCT 8 Kelajuan

Ahli terbaharu dalam keluarga Hyundai N iaitu Elantra N telah diperkenalkan secara rasmi setelah beberapa kali diacah sebelum ini. Ia dibangunkan sebagai kereta sport harian dengan menampilkan gabungan prestasi tinggi dan praktikaliti.

BHPetrol_Euro5-Diesel_Web-Banner_BM_GoHedGostan_650x85_FA-32

Bercakap tentang prestasi, model ini hadir dengan enjin turbo 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 280 PS dan 392 Nm untuk disalurkan ke roda hadapan. Setakat ini, hanya transmisi automatik klac berkembar lapan kelajuan diumumkan dan ia didatangkan dengan fungsi N Grin Shift yang memberikan kuasa tambahan sebanyak 10 PS selama 20 saat.

Dipadankan dengan Launch Control, Elantra N boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j. Turut disertakan adalah N Power Shift (NPS) dan N Track Sense Shift (NTS) untuk keseronokan yang maksimum.

Aspek pengendalian pula diuruskan oleh Limited Slip Differential elektronik (e-LSD) pada gandar hadapan, sistem suspensi yang lebih keras serta ‘integrated drive axle’ (IDA) yang diinspirasikan oleh teknologi yang digunakan pada jentera rali WRC. Rim berukuran 19 inci yang dibalut tayar Michelin Pilot Sport 4 S memberikan cengkaman yang secukupnya, manakala kuasa membrek yang konsisten dibekalkan oleh cakera berukuran 360 mm.

Selain itu, Elantara N dilengkapi dengan sistem ekzos berubah-ubah yang memberikan efek bunyi ‘letupan’ yang digilakan-gilakan oleh kaki kereta. Namun, bagi memastikan bunyi itu dapat dinikmati sepenuhnya oleh pemandu, Hyundai turut menyertakan ciri N Sound Equalizer (NSE) di dalam kabin.

Dari luar, tidak ragu-ragu lagi Elantra N adalah sedan yang mempunyai tahap prestasi yang tinggi, dengan kit badan yang agresif, jalur merah yang menghiasi sekeliling badan, spoiler dan muncung ekzos berkembar. Ia juga menampilkan warna Performance Blue seperti model-model Hyundai N yang lain.

Di dalam pula terdapat pelbagai elemen N seperti stereng, tuil gear, panel pintu, set pedal keluli dan tempat duduk ‘bucket’. Malah, model ini juga mendapat sistem infohibur khusus yang memaparkan maklumat-maklumat yang penting untuk pemanduan di litar seperti suhu minyak dan bendalir penyejuk, tork, tekanan turbo dan pelbagai lagi.

Previous post

Pernahkah Sedan Mitsubishi Starion 4 Pintu Dihasilkan

Next post

Ruang Kabin Mercedes-AMG SL 2022 Didedahkan

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *