Berita Auto

Ruang Kabin Mercedes-AMG SL 2022 Didedahkan

Selepas mendedahkan kerangka Mercedes-AMG SL generasi baharu pada Mei lalu, Mercedes kini memperlihatkan pula reka bentuk dalaman model roadster itu. Syarikat itu berkata rekaan itu dikenali sebagai “hyperanalogue” dan buat pertama kalinya sejak model generasi R129 yang diperkenalkan pada 1989, SL bakal hadir dengan dua tempat duduk belakang.

BHPetrol_Euro5-Diesel_Web-Banner_BM_GoHedGostan_650x85_FA-32

Seperti yang boleh dilihat, tempat duduk belakang berkenaan agak sempit untuk penumpang selain kanak-kanak namun konfigurasi 2+2 ini menjadikan SL kenderaan harian yang lebih praktikal berbanding sebelum ini. Jika ia tidak diperlukan, pelanggan boleh memasang pemantul angin atau menggunakan ruang itu untuk meletakkan barangan seperti beg golf.

Menurut Mercedes, hyperanalogue merujuk kepada gabungan geometri analog dan elemen digital. Ini boleh dilihat menerusi kluster instrumen digital berukuran 12.3 inci yang diintegrasikan ke dalam visor. Ini dikatakan dapat menghalang pantulan yang disebabkan oleh cahaya matahari.

Rekaan papan pemuka pula dikatakan menyerupai sayap kapal terbang, dengan empat corong pendingin hawa berbentuk bulat yang tidak ubah seperti turbin enjin. Terletak pada konsol tengah adalah skrin sentuh berukuran 11.9 inci yang diletakkan dalam format potret. Apa yang menarik, skrin ini boleh dibaringkan atau ditegakkan untuk memberikan pandangan yang lebih jelas kepada pemandu.

Sistem infohibur SL dioperasikan menggunakan sistem MBUX generasi kedua yang diperkenalkan buat pertama kali menerusi S-Class baharu. Sistem ini mempunyai kandungan dan grafik yang spesifik kepada AMG, termasuk item menu seperti Performance dan Track Pace.

Selain itu, SL juga akan didatangkan dengan sistem audio Burmester dengan pembesar suara yang diperbuat daripada logam yang diintegrasikan ke dalam panel pintu, serta sistem pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna. Terdapat juga paparan ‘head up’ tiga dimensi namun ia ditawarkan sebagai ciri opsyen.

Untuk upholsteri pula, pelanggan boleh memilih kemasan kulit nappa satu atau dua tona dengan jahitan ala berlian, atau gabungan kulit nappa dan mikrofiber Dinamica Race dengan jahitan kontras berwarna kuning atau merah untuk penampilan yang lebih sporty.

Previous post

Hyundai Elantra N Hadir Dengan 280 PS, Transmisi DCT 8 Kelajuan

Next post

Nissan LEAF Sekarang Ada Bunyi Baharu Diberi Nama ‘Canto’ Sebagai Amaran Kepada Pejalan Kaki

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *