Cerita Auto

Lotus Akan Tamatkan Pengeluaran Elise, Exige dan Evora

Lotus mengesahkan bahawa pengeluaran model Elise, Exige dan Evora akan ditamatkan pada tahun ini. Menggantikan trio itu adalah siri kereta sport baharu Lotus yang akan didahului oleh Type 131 yang akan memasuki fasa pengeluaran di kilang syarikat itu di Hethel, Norfolk.

Bagi memacu pelaksanaan pelannya, Lotus telah membuat pelaburan sebanyak £100 juta di kilang Hethel dan merancang untuk merekrut kira-kira 250 kakitangan baharu untuk bahagian kejuruteraan dan pengeluaran. Ini merupakan tambahan kepada 670 kakitangan yang telah menyertai Lotus semasa pengambilalihan oleh Geely dan Etika pada September 2017.

Pelaburan tersebut merupakan sebahagian daripada strategi Vision80 Lotus, yang akan turut menyaksikan penempatan semula dua fasiliti sub-pemasangan Lotus ke dalam satu operasi pusat di bandar Norwich bagi membolehkan syarikat itu menampung jumlah pengeluaran yang lebih tinggi.

Setakat ini, maklumat mengenai Type 131 masih belum didedahkan namun menurut Lotus, kereta sports tersebut sedikit sebanyak diinspirasikan oleh barisan model sedia ada dengan kriteria yang menjadikan ia kereta untuk mereka yang gemar memandu. Model itu juga dilaporkan mengambil inspirasi dari Evija untuk reka bentuknya.

Bagi Elise, Exige dan Evora pula, Lotus berkata bahawa ia telah merancang pelbagai aktiviti bagi meraikan model-model tersebut. Menurut syarikat itu, jualan keseluruhan bagi ketiga-tiga model tersebut akan mencecah 55,000 unit setelah pengeluarannya ditamatkan.

Previous post

Geely Akan Bekerjasama Dengan Tencent Dalam Teknologi Digitalisasi & Banyak Lagi

Next post

Mitsubishi Outlander Diperkenalkan Sepenuhnya 16 Februari

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *