Berita Auto

Lotus Evora GT410 Lebih Selesa dan Praktikal

Lotus telah melancarkan versi baharu Evora yang dikenali sebagai GT410. Jika dibandingkan dengan GT410 Sport, model ini hadir dengan spesifikasi standard yang dipertingkatkan bagi tujuan keselesaan.

Walaupun begitu, dengan harga jualan £82,900 (RM440,520) di United Kingdom, ia masih lebih murah berbanding versi Sport tersebut dengan perbezaan sebanyak £3,000 (RM15,940).

Untuk harga tersebut, pelanggan mendapat kelengkapan tambahan berupa kerusi sport jenama Sparco, sistem pendingin hawa dan juga kamera undur. Sistem infotainmen premium dengan navigasi satelit, Apple CarPlay dan radio digital DAB turut disertakan.

Lotus turut meningkatkan penggunaan bahan penebat bunyi di dalam kabin serta menambah perehat tangan dan ruang penyimpanan barang pada bahagian panel pintu.

Model ini juga mempunyai tahap redaman (damping rate) yang ditala semula bagi memastikan penumpang sentiasa selesa tanpa menjejaskan aspek pengendaliannya.

Selain itu, penggunaan tayar semua cuaca (all-weather) Michelin Pilot Sport 4S bermakna ia tahan lebih lama manakala tailgate baharu dengan tingkap kaca yang lebih besar menghasilkan ruang penglihatan yang lebih jelas untuk pemandu.

Kelengkapan baharu ini merupakan tambahan kepada kelengkapan standard yang sedia ada pada Evora seperti sistem brek AP Racing, rim aloi (19 inci di hadapan, 20 inci di belakang), Cruise Control, pemanas tempat duduk dan sensor undur.

Evora GT410 dikuasakan oleh enjin 3.5-liter V6 supercharged dengan kuasa berjumlah 410 hp dan 400 Nm.

Previous post

DS 7 Crossback Mempunyai Teknologi Tempat Duduk Urut Yang Unik

Next post

Porsche Bina Pusat Pengalaman Ultra-Moden di Itali

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *