Berita Auto

Ferrari SP48 Unica Model One-Off Terbaharu Dari Maranello

Sekilas pandang, jentera ini tampak seperti 296 GTB atau SF90 Stradale namun ia sebenarnya merupakan penawaran one-off terkini dari Ferrari yang dikenali sebagai SP48 Unica.

Ferrari SP48 Unica

Walaupun dibangunkan menggunakan platform F8 Tributo, supercar ini mempunyai imejnya yang tersendiri hasil dari cita rasa pemiliknya. Bahagian depannya menampilkan corak honeycomb dan lampu yang lebih tajam dengan lubang ambilan udara di bawahnya. Menurut Ferrari, ia direka menggunakan teknik pemodelan dan prototaip 3D.

Sementara itu, tiang A yang dihitamkan, tingkap sisi yang lebih kecil serta ketiadaan cermin belakang secara tidak langsung membuatkan bahagian atas SP48 Unica kelihatan seperti visor topi keledar muka penuh.

Bahagian belakang pula menampilkan lampu nipis melintang yang tidak ubah seperti lampu belakang Roma. Overhang pada bahagian ini juga lebih panjang dan ini, menurut Ferrari, mengurangkan efek sedutan dari bahagian bumbung, sekaligus meningkatkan downforce.

Gambar ruang dalaman tidak disiarkan namun pengeluar supercar dari Itali itu mendakwa ia telah dipertingkatkan menerusi penggunaan balutan baldu untuk tempat duduk, fabrik jingga kemerahan yang sepadan dengan warna luaran dan juga corak heksagon yang sama seperti yang terdapat pada bahagian bumbung.

Ferrari SP48 Unica

Perincian mengenai enjin juga tidak diberikan namun jangkaan kami, SP48 Unica dikuasakan oleh enjin 3.9-liter twin-turbo V8 yang sama dengan model asalnya. Dalam model itu, enjin tersebut menghasilkan 720 PS dan 770 Nm yang membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 2.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 340 km/j.

Harga SP48 Unica tidak diketahui namun ia sudah pasti berkali ganda lebih tinggi jika dibandingkan dengan F8 Tributo.

Previous post

Polis Kedah Keluarkan 13,024 Saman Sepanjang Op Selamat 18

Next post

Brabus 900 Crawler Adalah G-Wagon Versi Buggy

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *