Berita Auto

Brabus 900 Crawler Adalah G-Wagon Versi Buggy

Sejak penubuhannya, Brabus sudah banyak menghasilkan jentera berasaskan Mercedes-AMG yang mengagumkan namun hasil tangannya yang terbaharu ini adalah antara rekaannya yang paling ‘gila’ pernah kami lihat.

Brabus 900 Crawler

Dikenali sebagai 900 Crawler, ia sebenarnya merupakan G63 yang diberikan modifikasi secara menyeluruh untuk mentransformasikannya menjadi sebuah buggy padang pasir. Hanya 15 unit yang akan dibina dan setiap satu akan dijual pada harga €749,000 (RM3.4 juta) sebelum cukai.

Seperti yang boleh dilihat, kebanyakan panel badan G63 telah dibuang. Yang kekal hanyalah lampu depan dan bampar serta bonet yang diperbuat daripada gentian karbon. Ini secara tidak langsung dapat mengurangkan berat jentera itu dari 2,485 kg kepada 2,065 kg.

Sebagai ganti, Brabus memasang rangka tiub keluli serta beberapa komponen lain seperti bumbung, spoiler belakang, skup bonet, serta fender yang lebar. Syarikat talaan itu turut menggunakan rim Brabus Monoblock HD berukuran 20 inci yang dibalut tayar off-road Maxxis Razr.

Selain gabungan rim dan tayar tersebut, penggunaan portal axle, penyerap hentak boleh laras dan topang kustom memberikan 900 Crawler jarak lega tanah 53 cm. Untuk perbandingan, Ford Bronco dan Jeep Wrangler masing-masing mempunyai jarak lega tanah 29.4 cm dan 27.4 cm.

Satu lagi kelebihan jentera unik ini adalah enjinnya. Untuk projek ini, Brabus mempertingkatkan kapasiti enjin 4.0-liter biturbo V8 yang asal kepada 4.5-liter bagi membolehkannya menjana 888 hp (900 PS) dan 1,250 Nm. Bagaimanapun, demi menjaga transmisi automatik sembilan kelajuan itu, jumlah tork dihadkan kepada 1,050 Nm sahaja.

Dari segi prestasi, 900 Crawler tidak mempunyai masalah untuk melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 3.4 saat. Namun begitu, kelajuan maksimumnya agak rendah iaitu 160 km/j sahaja memandangkan ia menggunakan tayar off-road.

Brabus 900 Crawler

Sementara itu, ruang dalamannya menampilkan empat tempat duduk individu, masing-masing dibalut fabrik Silvertex berwarna merah yang turut digunakan pada bot Brabus Marine. Walaupun ia sebuah buggy, 900 Crawler tidak lekang dengan kelengkapan canggih seperti panel instrumen digital dan skrin navigasi GPS yang kalis air.

Previous post

Ferrari SP48 Unica Model One-Off Terbaharu Dari Maranello

Next post

Tayar BFGoodrich Advantage Touring Dilancarkan Di Malaysia

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *