Berita Auto

Ferrari Roma Tiba di Malaysia – Dari RM968,000

Setelah diperkenalkan di peringkat global pada November tahun lalu, Ferrari Roma kini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia.

Dinamakan sempena ibu negara Itali, Roma merupakan model Grand Tourer (GT) fastback coupe yang diinspirasikan oleh 250 GT Berlinetta lusso dan 250 GT 2+2.

Pada masa yang sama, ia juga menampilkan beberapa elemen yang dipinjam daripada jentera moden Ferrari. Sebagai contoh, lampu LED hadapan direka berdasarkan lampu hadapan Monza SP1 dan SP2.

Dari segi aerodinamik, jentera ini mampu menghasilkan 95 kg lebih banyak ‘downforce’ pada kelajuan 250 km/j berbanding Portofino, dengan adanya penjana vortex pada bahagian hadapan dan spoiler belakang. Spoiler ini boleh dinaikkan dalam tiga posisi iaitu Low Drag, Medium Downforce, dan High Downforce.

Ruang kabin Roma menampilkan konsol tengah yang tinggi yang memisahkan ruang pemandu dan penumpang, satu susun atur yang agak luar biasa bagi Ferrari.

Antara kelengkapan terbaru yang terdapat pada model ini adalah panel instrumen digital berukuran 16 inci serta skrin sentuh 8.4 inci yang terletak pada konsol tengah. Ferrari turut menawarkan skrin berukuran 8.8 inci pada bahagian papan pemuka secara pilihan.

Satu lagi ciri baharu adalah panel sentuhan haptik pada stereng. Pad sentuhan pada sebelah kanan membolehkan pemandu mengawal skrin tengah manakala pad sentuhan sebelah kiri memberikan akses kepada ciri arahan suara dan Adaptive Cruise Control.

Kuasa dibekalkan oleh enjin 3.9-liter twin-turbo V8 yang terletak pada bahagian hadapan (mid-front). Enjin tersebut menghasilkan 612 hp dari 5,750 hingga 7,500 rpm dan 760 Nm dari 3,000 hingga 5,750 rpm.

Dengan transmisi dwi-klac lapan kelajuan yang ditugaskan untuk memacu roda belakang, jentera seberat 1,472 kg ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam 3.4 saat dan dari 0-200 km/j dalam 9.3 saat. Kelajuan maksimum adalah melebihi 320 km/j.

Bagi aspek elektronik, Roma dilengkapi dengan Side Slip Control 6.0 dengan integrasi E-Diff, F1-Trac, SCM-E Frs dan Ferrari Dynamic Enhancer. Ia mempunyai lima mod pemanduan iaitu Wet, Comfort, Sport, Race dan ESC-Off.

Ferrari turut memperkenalkan opseyn sistem ADAS (SAE Level 1) yang merangkumi ciri Adaptive Cruise Control, Autonomous Emergency Braking, Lane Departure Warning, Traffic Sign Recognition, Blind Spot Detection, Rear Cross Traffic Alert dan Surround View Camera. Turut ditawarkan secara pilihan adalah lampu Matrix LED.

Bagi pasaran Malaysia, Roma dijual pada harga RM968,000 (sebelum duti, opsyen dan insurans). Model ini kini sedang dipamerkan di bilik pameran Ferrari di Platinum Park, Kuala Lumpur sehingga 29 Jun ini.

Previous post

720S Ini Memperingati 25 Tahun Sejak F1 GTR Menakluki Le Mans

Next post

Subaru Forester dan XV Kini dengan Pakej 'Peace of Mind'

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *