Berita Auto

Ferrari 296 GTB Dilancarkan Di Malaysia – RM1,228,000

Naza Italia, pengimport dan pengedar rasmi jenama Ferrari di Malaysia, hari ini melancarkan Ferrari 296 GTB baharu. Ia merupakan model pertama Ferrari yang tampil dengan enjin tengah V6 hibrid dengan pacuan roda belakang, sekaligus menandakan kemasukan jenama itu ke era baharu.

Nama supercar ini diperolehi dengan menggabungkan sesaran enjin (2,992 cc) dengan bilangan silinder (enam), dengan tambahan akronim GTB (Gran Turismo Berlinetta) sebagai sebahagian daripada tradisi Ferrari.

Secara sendiri, enjin twin-turbo V6 itu menghasilkan 663 PS namun apabila digandingkan dengan Motor Generator Unit, Kinetic (MGU-K), kuasa melonjak kepada 830 PS pada 8,000 rpm dan 740 Nm pada 6,250 rpm. Dengan transmisi DCT lapan kelajuan dan differential elektronik e-Diff, jentera ini boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 2.9 saat, 0 hingga 200 km/j dalam 7.3 saat dan mencapai kelajuan maksimum 330 km/j.

Kuasa elektrik untuk MGU-K dibekalkan oleh sebuah pek bateri berkapasiti 7.45 kWj yang terletak di bawah lantai. Dalam mod eDrive, 296 GTB boleh dipandu dengan menggunakan kuasa elektrik sejauh 25 km, pada kelajuan mencecah 135 km/j. Mod-mod pemanduan lain yang disertakan adalah Hybrid, Performance dan Qualify.

Rekaan luaran 296 GTB menggabungkan elemen-elemen yang dipinjam daripada model-model klasik dan juga moden. Sebagai contoh, badannya diinspirasikan daripada 250 LM keluaran tahun 1963, manakala rekaan cermin penghadang angin adalah daripada model edisi terhad dan one-off seperti J50 dan P80/C.

Sementara itu, spoiler aktif pada bahagian belakang pula merupakan elemen yang diambil daripada LaFerrari. Ia merupakan komponen aerodinamik aktif yang boleh menjana downforce maksimum sehingga 360 kg pada kelajuan 250 km/j.

Ruang kokpit 296 GTB pula menampilkan konsep antara muka digital sepenuhnya yang diperkenalkan buat pertama kali menerusi SF90 Stradale, di mana ia menampilkan panel instrumen digital dan sebuah paparan kecil pada papan pemuka sebelah penumpang.

Pelanggan yang inginkan prestasi yang lebih tinggi boleh mendapatkan pakej Assetto Fiorano yang merangkumi penyerap hentak Multimatic, komponen aerodinamik yang diperbuat daripada gentian karbon, cermin belakang Lexan dan tayar Michelin Sport Cup2R. Pakej ini menawarkan penjimatan berat sehingga 15 kg.

Ferrari 296 GTB dijual pada harga bermula dari RM1,228,000 (tida termasuk duti, opsyen, cukai dan insurans). Ia didatangkan program penyelenggaraan selama tujuh tahun.

Previous post

Lotus Buka Semula Kilang Hethel Selepas Berbelanja £100M Untuk Renovation

Next post

Porsche Cayenne Mula Dipasang Secara Tempatan Di Kulim

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *