Berita Auto

Porsche Cayenne Mula Dipasang Secara Tempatan Di Kulim

Sime Darby dan Porsche AG hari ini melancarkan Porsche Cayenne versi pemasangan tempatan (CKD) yang dihasilkan khusus untuk pasaran Malaysia. Majlis pelancaran diadakan di kilang Sime Darby di Kulim, Kedah, yang secara tidak langsung menjadi kilang pemasangan Porsche pertama di luar Eropah.

Pemasangan tempatan SUV berprestasi tinggi itu menggariskan komitmen Porsche terhadap Malaysia dan juga rantau ASEAN, selain menunjukkan dedikasi Sime Darby dalam mengembangkan keupayaan pemasangannya bagi memajukan perniagaannya dalam sektor automotif.

Porsche Cayenne CKD

Ahli Lembaga Eksekutif Pengeluaran dan Logistik Porsche, Albrecht Reimold berkata, “Kilang pemasangan di Malaysia memenuhi keperluan spesifik pasaran dan beroperasi seiring dengan rangkaian pengeluaran Porsche di Eropah. Ia juga memenuhi standard kualiti komprehensif yang ditetapkan oleh Porsche.”

Kilang itu dikendalikan sepenuhnya oleh pasukan berkemahiran tinggi yang dibarisi 100 peratus warga tempatan yang telah dilatih oleh Porsche. Pemasangan tersebut disokong oleh rangkaian pembekal dan penyedia perkhidmatan tempatan, sekaligus memperkasakan komuniti setempat dengan peluang pekerjaan dan prospek peningkatan kemahiran.

Porsche Cayenne CKD

Sementara itu, Cayenne versi CKD didatangkan dengan lebih banyak kelengkapan standard termasuk lampu LED Porsche Dynamic Light System (PDLS), rim RS Spyder 21 inci, sistem audio Bose, sistem pendingin hawa empat zon, Comfort Access, Park Assist dan pelbagai lagi.

Ia juga ditawarkan dengan pakej opsyen Porsche Exclusive Manufaktur dan jam tangan edisi khas Porsche Design. Bukan itu sahaja, pelanggan juga boleh mendapatkan pelbagai aksesori Tequipment yang berorientasikan gaya hidup.

Porsche Cayenne CKD

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Cayenne CKD dijual pada harga bermula RM550,000 dan penyerahannya dijangka bermula bulan ini.

Previous post

Ferrari 296 GTB Dilancarkan Di Malaysia - RM1,228,000

Next post

Toyota GR Corolla Diperkenalkan 31 Mac Ini

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *