Hibrid, Elektrik, Hidrogen

Ferrari 296 GTB Hadir Dengan Enjin V6 Hibrid

Ferrari telah memperkenalkan pengganti F8 Tributo yang akan dilancarkan ke pasaran bermula tahun hadapan – 296 GTB. Nombor pada nama jentera ini merujuk kepada sesaran enjin (2,992 cc) dan juga bilangan silindernya, manakala GTB pula bermaksud Gran Turismo Berlinetta.

Ya, pengganti model V8 twin-turbo itu dikuasakan oleh enjin enam silinder yang disusun dalam bentuk ‘V’ pada sudut 120 darjah. Ini sekaligus menjadikannya kereta produksi berenjin V6 pertama Ferrari dalam tempoh hampir 50 tahun selepas Dino.

Didorong oleh sepasang pengecas turbo yang ditempatkan di tengah-tengah susunan silinder, enjin tersebut menghasilkan 663 PS. Ini bermakna ia mempunyai 221 PS per liter, yang mana menurut Ferrari merupakan satu rekod bagi kereta produksi.

Namun, itu bukanlah kuasa sebenar 296 GTB. Terletak di gandar belakang adalah sebuah motor elektrik yang dibangunkan dengan teknologi daripada Formula 1. Digelar sebagai Motor Generator Unit, Kinetic (MGU-K), motor elektrik tersebut mampu menjana 122 kW (167 PS) dan 315 Nm, sekaligus memberikan jentera ini kuasa keseluruhan berjumlah 830 PS.

MGU-K mendapat bekalan tenaganya daripada pek bateri berkapasiti 7.45 kWj yang diletakkan di bawah lantai. Dalam mod eDrive, jentera ini boleh dipandu sejauh 25 km pada kelajuan sehingga 135 km/j tanpa sebarang bantuan dari enjin. Sistem klac Transition Management Actuator (TMA) membolehkan perkara ini berlaku dengan menyambungkan dan memutuskan MGU-K dari enjin V6 itu bergantung kepada keadaan.

Dengan transmisi klac berkembar lapan kelajuan yang menggerakkan roda belakang menerusi ‘differential’ elektronik (E-Diff), 296 GTB boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 2.9 saat sebelum mencapai kelajuan 200 km/j 4.4 saat kemudian. Menurut Ferrari, kelajuan maksimum jentera ini adalah melebihi 330 km/j dan di litar Fiorano, ia mampu membuat catatan masa 1 minit 21 saat.

Dari segi dinamik pemanduan, Ferrari berkata 296 GTB didatangkan dengan sensor dinamik casis enam hala atau 6-way Chassis Dynamic Sensor (6w-CDS) yang pertama seumpanya dalam sektor automotif. Turut disertakan adalah ABS evo yang mengurangkan jarak pergerakan pedal brek, angkup brek Aero, stereng kuasa elektrik dan peredam magnetorheological.

Tambah syarikat itu, ukuran takap roda 296 GTB yang lebih pendek sebanyak 50 mm berbanding model berlinetta sebelum ini turut menyumbang kepada prestasi pengendaliannya. Di belakang, terdapat spoiler aktif yang diinspirasikan oleh LaFerrari yang boleh menjana ‘downforce’ sehingga 360 kg pada kelajuan 250 km/j.

Previous post

Vantage Roadster 'A3' Adalah Tribut Kepada Kereta Klasik Aston Martin

Next post

Porsche 911 GTS - Alternatif Kepada Carrera Dan Turbo

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *