Berita Auto

Vantage Roadster ‘A3’ Adalah Tribut Kepada Kereta Klasik Aston Martin

Jangan terkeliru dengan model subkompak keluaran Audi pula kerana ‘A3’ yang dimaksudkan di sini adalah kereta klasik Aston Martin. Ia merupakan unit yang ketiga daripada lima buah prototaip yang dihasilkan oleh Aston Martin sebelum syarikat itu memulakan pengeluaran kenderaan secara bersiri dan ia sering dipandu oleh pengasas bersama iaitu Lionel Martin.

Bagi menyambut ulang tahunnya yang ke-100, pengeluar kereta sport British itu telah memperkenalkan Vantage Roadster edisi terhad yang dikomisenkan oleh pengedar rasmi Aston Martin di England iaitu Aston Martin HWM. Dihasilkan oleh divisyen Q, jentera roadster ini didatangkan dengan beberapa perincian yang diinspirasikan oleh A3.

Antaranya adalah bingkai gril yang diperbuat daripada aluminium, kemasan mesh hitam, serta lencana vintaj Aston Martin yang dilekatkan pada kemasan mesh tersebut. Pada bahagian sisi, panel dapra digilap dengan tangan dan diberikan tali kulit serta cetakan ‘NO_3’.

Selain itu, angkup brek didatangkan dalam warna gangsa, manakala di dalam, upholsteri kulit Obsidian Black dihiasi dengan trim dan jahitan kontras Chestnut Tan. Turut disertakan adalah sulaman ‘Aston Martin’ klasik pada bahagian belakang dan tombol kawalan sistem pendingin hawa yang diperbuat daripada tembaga.

Model edisi istimewa ini kekal dengan enjin 4.0-liter twin-turbo V8 buatan Mercedes-AMG yang mampu menghasilkan 510 PS pada 6,000 rpm dan 685 Nm dari 2,000 hingga 5,000 rpm. Transmisi automatik lapan kelajuan dan pacuan roda belakang membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.8 saat dan mencapai kelajuan maksimum 306 km/j.

Pengeluaran model ini akan dihadkan kepada tiga unit sahaja dan ia hanya boleh dibeli menerusi Aston Martin HWM. Harga tidak dinyatakan namun ia sudah pasti lebih mahal berbanding versi standard.

Aston Martin Vantage Roadster A3
Previous post

Porsche 911 GT2 RS Pecah Rekod Kereta Produksi Di Nurburgring

Next post

Ferrari 296 GTB Hadir Dengan Enjin V6 Hibrid

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *