Berita Auto

Toyota GR Supra Dapat Transmisi Manual 6 Kelajuan

Apabila Toyota GR Supra diperkenalkan buat pertama kali pada Januari 2019, ia hanya ditawarkan dengan transmisi automatik lapan kelajuan dan ini mengecewakan ramai peminat (terutamanya golongan ‘purist’) yang tidak sabar menunggu untuk mendapatkannya.

Kini, tiga tahun kemudian, kereta sport yang diminati ramai itu akhirnya boleh didapati dengan transmisi manual. Walau bagaimanapun, transmisi ditawarkan sebagai opsyen pada model-model enam silinder sahaja iaitu 3.0, 3.0 Premium dan model edisi terhad A91-MT Edition.

Toyota GR Supra Manual

Menurut Toyota, para juruteranya tidak menggunakan mana-mana transmisi manual yang sedia ada. Mereka membangunkan transmisi ini secara khusus untuk disesuaikan dengan karakteristik kuasa dan tork enjin B58 keluaran BMW itu. Selepas dinaik taraf pada 2020, enjin turbo 3.0-liter enam silinder sebaris itu menghasilkan 382 hp dan 500 Nm.

Bagi tujuan, jurutera Toyota mengubah suai perumah transmisi, aci pemacu (driveshaft) dan set gear, serta membuang penebat bunyi dan beberapa komponen lain untuk mengurangkan berat. Turut disertakan adalah klac baharu yang mempunyai kawasan geseran yang lebih besar dan spring diafragma yang diperkukuhkan.

Transmisi manual itu mempunyai enam nisbah gear dan ciri intelligent Manual Transmission (iMT) yang diprogramkan dengan perisian baharu untuk memberikan prestasi sporty secara konsisten. iMT merupakan tetapan default namun pemandu boleh menyahaktifkannya dalam mod Sport. Nisbah pacuan akhir juga dipendekkan dari 3.15 dalam versi automatik kepada 3.46 dalam versi manual.

A91 MT-Edition

Tersedia hanya untuk model tahun 2023 dan terhad kepada 500 unit sahaja, GR Supra A91-MT Edition tampil dengan lencana ‘Supra’ berwarna merah, angkup brek merah dengan logo ‘GR Supra’, tower brace yang juga berwarna merah, rim 19 inci dengan kemasan Frozen Gunmetal Gray dan dua pilihan warna luaran iaitu Matte White dan CU Later Gray. Di dalam, terdapat upholsteri kulit dalam warna Cognac, balutan Alcantara pada tombol gear dan sistem audio JBL dengan 12 pembesar suara.

Selain itu, Toyota turut mengemas kini barisan GR Supra enam silinder dengan menala semula penyerap hentak dan stereng kuasa elektrik, selain menentukur semula sistem Traction Control. Syarikat itu juga memperkenalkan fungsi Hairpin+ yang memberikan lebih kebebasan kepada pemandu apabila mengambil selekoh tajam.

Toyota GR Supra Manual

Vehicle Stability Control (VSC) kini berfungsi bersama Anti-Roll Program (ARP) yang ditugaskan untuk campur tangan lebih awal apabila cengkaman hilang secara tiba-tiba. Akhir sekali, mod Track juga ditala semula untuk membolehkan pemandu melakukan drift dengan lebih mudah.

Previous post

Porsche 911 Sport Classic Debut, Hanya 1250 Akan Dibina

Next post

Lamborghini Berjaya Jual 20,000 Huracán Sejak 2014

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *