Berita Auto

Mercedes-AMG SL 43 – Roadster Entry-Level Berkuasa

Pada November tahun lalu, Mercedes-AMG SL generasi baharu diperkenalkan dalam dua varian yang dikuasakan oleh enjin V8 biturbo iaitu SL 55 dan SL 63. Kini, Mercedes memperkenalkan varian entry-level dengan enjin empat silinder iaitu SL 43.

Walaupun jumlah silindernya kurang separuh berbanding dua varian tersebut, SL 43 tidak boleh dipandang enteng kerana kuasa yang dihasilkan masih cukup tinggi. Enjin 2.0 liter itu merupakan unit M139 yang turut digunakan oleh A45S dan dalam model roadster ini, ia dipasang pengecas turbo gas ekzos elektrik yang dibangunkan dengan teknologi daripada enjin Formula 1.

Menggunakan sistem elektrikal 48 volt, pengecas turbo itu meningkatkan respon enjin pada kelajuan melahu, di samping membekalkan tork yang tinggi pada julat rev rendah. Ia juga mampu mengekalkan tekanan galakan (boost pressure) walaupun ketika pemandu melepaskan pendikit atau menekan brek bagi memastikan enjin mampu memberikan tindak balas segera pada setiap masa.

Mercedes-AMG SL 43

Gandingan ini menghasilkan kuasa sebanyak 381 hp pada 6,750 rpm dan 480 Nm antara 3,250 dan 5,000 rpm. Bergantung kepada situasi, sistem itu juga mampu memberikan galakan tambahan sebanyak 14 hp menerusi starter generator (RSG) yang bertindak sebagai sistem hibrid ringkas.

Kuasa disalurkan ke roda belakang oleh transmisi automatik AMG Speedshift MCT 9G, tidak seperti SL 55 dan SL 63 yang mempunyai pacuan semua roda 4MATIC+. Ini membolehkan SL 43 memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.9 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum 275 km/j.

Sistem suspensi yang digunakan adalah AMG Ride Control, namun sebagai opsyen, pelanggan boleh mendapatkan sistem peredam adaptif AMG. Menurut Mercedes, enjin yang lebih ringan bermakna mereka perlu menggunakan bar penstabil yang lebih ringan dengan talaan unik pada bahagian depan dan belakang.

Dari segi penampilan, SL 43 kelihatan tidak ubah seperti varian-varian lain dalam barisan SL namun jika diperhatikan dengan lebih teliti, anda akan dapat lihat perbezaan pada rekaan apron depan dan belakang, serta bentuk muncung ekzos iaitu bulat, berbanding petak seperti yang terdapat pada varian V8. Ia didatangkan standard dengan rim 19 inci, namun pelanggan boleh memesan rim 20 atau 21 inci.

Ruang dalamannya tidak berubah, dengan papan pemuka bertingkat yang didominasi oleh skrin sentuh potret pada bahagian tengah. Dioperasikan oleh MBUX, sudut skrin sentuh ini boleh diubah sehingga 20 darjah bagi mengelakkan silau apabila bumbung diturunkan. Turut disertakan adalah kluster instrumen digital berukuran 12.3 inci.

Previous post

Yamaha Y15ZR Dapat Empat Warna Baharu Untuk 2022

Next post

Honda Civic Type R Catat Rekod FWD Baharu Di Litar Suzuka

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *