Berita Auto

Mercedes-AMG SL Kini Eksklusif Dengan Enjin Biturbo V8

Mercedes-Benz akhirnya memperkenalkan SL generasi ketujuh setelah beberapa kali ia diacah sejak sebulan lepas. Buat pertama kalinya, model itu ditawarkan secara eksklusif sebagai model AMG dengan casis yang dibangunkan khusus oleh divisyen itu. Ia boleh didapati dalam dua varian iaitu Mercedes-AMG SL 55 4MATIC+ dan Mercedes-AMG SL 63 4MATIC+, kedua-duanya dikuasakan oleh enjin 4.0-liter biturbo V8 tetapi dengan kuasa yang berbeza.

Selain enjin, kedua-dua varian itu juga menggunakan transmisi sembilan kelajuan AMG Speedshift MCT yang menggunakan klac basah dan bukannya torque converter. Ia juga merupakan model SL pertama yang dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda 4MATIC+ dan kawalan stereng gandar belakang. Bukan itu sahaja, AMG juga akan menawarkan versi hibrid pada masa depan.

Kerangka yang digunakan oleh SL dibangunkan tanpa menggunakan sebarang komponen daripada model generasi terdahulu atau AMG GT Roadster. Sebahagian besar daripada strukturnya diperbuat daripada aluminium, dengan campuran bahan-bahan lain seperti magnesium, komposit gentian dan keluli. Berat keseluruhan struktur ini adalah 270 kg, manakala ketegarannya meningkat sebanyak 18 peratus berbanding model SL yang terdahulu.

SL 55 dilengkapi dengan sistem suspensi AMG Ride Control yang menggunakan penyerap hentak aluminium dan gegelung ringan, manakala SL 63 pula didatangkan dengan AMG Active Ride Control dengan elemen hidraulik aktif yang menggantikan anti-roll bar mekanikal. AMG turut membangunkan brek komposit berprestasi tinggi yang lebih ringan dan boleh menyejuk dengan lebih cepat.

Berikut adalah angka-angka prestasi bagi kedua-dua model:

SL 55 4MATIC+

  • 476 hp, 700 Nm
  • 0-100 km/j dalam 3.9 saat
  • Kelajuan maksimum 295 km/j

SL 63 4MATIC+

  • 585 hp, 800 Nm antara 2,500 hingga 4,500 rpm
  • 0-100 km/j dalam 3.6 saat
  • Kelajuan maksimum 315 km/j

Satu lagi elemen yang memainkan peranan besar dalam prestasi SL adalah aerodinamik aktif. Menurut AMG, model ini mempunyai kadar pekali seretan serendah Cd 0.31 dan karakteristik pemanduannya tidak berubah sama ada dengan bumbung dinaikkan atau diturunkan. Di hadapan, terdapat lubang udara aktif yang akan dibuka untuk menyejukkan komponen tertentu manakala di belakang pula terdapat spoiler yang boleh ditetapkan dalam lima kedudukan berbeza sama ada untuk kestabilan atau mengurangkan seretan.

Sebagai pilihan, pelanggan boleh mendapatkan kepingan karbon aktif pada bahagian bawah badan. Bahagian ini akan diturunkan sebanyak 40 mm pada kelajuan 80 km/j dan ke atas bagi mendapatkan efek Venturi dan mengurangkan daya angkatan (lift) pada gandar hadapan.

Bumbung soft top pada SL dioperasikan secara elektrik dan 21 kg lebih ringan berbanding bumbung besi yang terdapat pada model terdahulu. Ia mempunyai tiga lapisan yang terdiri daripada rangka luar, tikar akustik dan pelapik bumbung. Ia boleh dibuka atau ditutup dalam masa 15 saat pada kelajuan sehingga 60 km/j.

Dari segi reka bentuk, SL generasi ketujuh mengekalkan profil SL yang terdahulu dengan bonet yang panjang dan overhang yang pendek. Sudah tentu, terdapat elemen-elemen baharu yang disuntik bagi membuatkannya ia tampak lebih segar, seperti gril Panamericana dan rekaan lampu hadapan dan belakang yang tajam. Ya, ia merupakan model 2+2 namun tempat duduk belakang hanya sesuai untuk mereka yang berketinggian 150 cm dan ke bawah.

Seperti yang telah didedahkan sebelum ini, rekaan papan pemuka SL diinspirasikan daripada sayap kapal terbang dengan empat corong pendingin hawa berbentuk bulat yang tidak ubah seperti turbin enjin. Sistem MBUX disertakan, begitu juga dengan kluster instrumen digital berukuran 12.3 inci dan skrin sentuh berukuran 11.9 inci yang diletakkan dalam format potret.

Previous post

Honda RS-X Dilancarkan Di Malaysia - RM8,688

Next post

Honda City V-SENSING Dilancarkan - RM90,212

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *