Berita Auto

Hyundai IONIQ 5 Menang Anugerah Kereta Tahunan Dunia 2022

Sejak pelancarannya pada Februari 2021, Hyundai IONIQ 5 telah memenangi pelbagai anugerah antarabangsa termasuk Kereta Tahunan Jerman pada November tahun lalu. Acara Anugerah Kereta Tahunan Dunia yang diadakan di New York baru-baru ini menyaksikan crossover elektrik itu menambah tiga lagi anugerah iaitu Kereta Tahunan Dunia, Kereta Elektrik Dunia dan Reka Bentuk Kereta Dunia.

Kenderaan elektrik bateri (BEV) itu diiktiraf oleh barisan juri yang terdiri daripada 102 wartawan automotif dari 33 buah negara. Ia dipilih dari senarai yang terdiri daripada 28 buah kenderaan, yang kemudiannya dipendekkan kepada 10 finalis yang terdiri daripada Kia EV6, Ford Mustang Mach-E, Audi Q4 e-tron, Cupra Formentor, Genesis G70, Honda Civic, Hyundai Tucson, Lexus NX dan kembar Toyota GR86/Subaru BRZ.

Dibina di atas platform Electric-Global Modular Platform (E-GMP), IONIQ 5 menampilkan pengecasan pantas 800V yang membolehkan baterinya dicas dari 10 hingga 80 peratus dalam hanya 18 minit, serta teknologi Vehicle-to-Load (V2L) dengan output 3.6 kW untuk mengecas apa sahaja perkakasan elektrik.

“Kami berbesar hati menerima anugerah berprestij ini, yang mengiktiraf bakat dan kerja keras semua kakitangan dan rakan kongsi perniagaan kami di Hyundai Motor Company,” kata Jaehoon Chang, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Hyundai Motor Company.

Hyundai Ioniq 5 Malaysia

Di Malaysia, IONIQ 5 boleh didapati dalam tiga spesifikasi iaitu Lite, Plus dan Max, dengan harga antara RM199,888 hingga RM259,888. IONIQ 5 Lite dan IONIQ 5 Plus merupakan model pacuan roda belakang dengan pek bateri 58 kWh yang menawarkan jarak pemanduan sejauh 384 km, manakala IONIQ 5 Max dilengkapi dengan sepasang motor elektrik (menjadikannya ia model pacuan semua roda) dan bateri 72.6 kWh yang membolehkan ia dipandu sejauh 430 km.

Previous post

Hyundai Palisade Facelift Debut

Next post

Toyota Vios Generasi Baharu Bakal Guna Platform DNGA

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *