Sukan

Toyota GR Supra GT4 50 Edition – Hanya 6 Unit Dihasilkan

Masih ingat Toyota GR Supra GT4 yang diperkenalkan pada 2019? Menurut Toyota, jentera yang dihasilkan khusus untuk litar lumba itu laku keras dengan jualan mencecah 50 unit sehingga akhir 2021. Bagi meraikan pencapaian itu, syarikat itu menawarkan model edisi khas yang dikenali sebagai GR Supra GT4 50 Edition.

Jika dibandingkan dengan versi standard, 50 Edition tampil dengan beberapa ciri tambahan yang eksklusif termasuk warna merah Toyota Gazoo Racing serta logo ’50 Edition’ berwarna emas pada bahagian sisi dan bumbung.

Di dalam, terdapat tempat duduk lumba OMP baharu lengkap dengan sulaman ‘GR Supra GT4’ untuk pemandu. Toyota turut menambah tempat duduk penumpang dan juga perehat kaki gentian karbon sebagai kelengkapan standard. Logo 50 Edition dan plak nombor siri pula diletakkan pada papan pemuka.

Menariknya, setiap unit didatangkan dengan kain penutup berjenama secara percuma bagi melindungi jentera apabila disimpan atau dihantar ke litar.

Dari segi mekanikal, tiada sebarang perubahan yang dilakukan. Kuasa masih dibekalkan oleh enjin 3.0-liter turbo enam silinder yang telah ditala bagi menghasilkan 435 PS (320 kW) dan 650 Nm. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik tujuh kelajuan.

Sejak ia diperkenalkan, GR Supra GT4 telah menyertai lebih 250 perlumbaan, mencapai 36 kemenangan kelas dan 78 podium. Toyota berkata ia akan meneruskan pembangunan dan produksi GR Supra GT4 serta memberikan sokongan teknikal kepada pelanggan.

Harga GR Supra GT4 Edition 50 Edition sama sahaja dengan versi standard iaitu 175,000 euro (kira-kira RM814,290) namun pengeluarannya terhad kepada enam unit sahaja – dua untuk Asia, dua untuk Eropah dan dua untuk Amerika Utara.

Previous post

Suzuki Bakal Hasilkan Kenderaan Elektrik, Bateri EV Di India

Next post

Patutkah SKODA Kembali Ke Malaysia Dengan Kereta Elektrik?

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *