Berita Auto

Alpina B4 Gran Coupe Ibarat BMW M4 Gran Coupe

BMW sebelum ini pernah berkata bahawa ia tidak berminat untuk menghasilkan M4 Gran Coupe. Mereka yang tertunggu-tunggu model berprestasi tinggi itu tidak perlu gusar kerana Alpina, yang kini dimiliki oleh BMW, telah menghasilkan jentera yang tidak kurang hebatnya iaitu B4 Gran Coupe.

Ini kerana tersimpan di bawah bonet adalah enjin turbo enam silinder sebaris bersesaran 3.0-liter yang telah ditala bagi menghasilkan 495 PS dari 5,000 hingga 7,000 rpm dan 730 Nm dari 2,500 hingga 4,500 rpm, sekaligus meletakkannya di antara M3/M4 ‘biasa’ dan versi Competition dari segi kuasa. Peningkatan ini dicapai dengan menggunakan sistem ekzos sport dan perisian pengurusan enjin yang lebih agresif.

Untuk prestasi pula, B4 Gran Coupe memerlukan 3.7 saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j dan boleh mencapai kelajuan maksimum mencecah 301 km/j. Ini dilakukan dengan bantuan daripada transmisi automatik lapan kelajuan yang ditugaskan untuk menyalurkan kuasa ke roda menerusi sistem pacuan semua roda xDrive.

Selain enjin, firma talaan yang berpengkalan di Buchloe, Jerman itu turut menambahbaik casis 4 Series Gran Coupe menerusi penggunaan sistem suspensi sport dan bushing rekaannya sendiri. Modifikasi lain seperti anti-roll bar dan camber negatif pada gandar depan turut memainkan peranan dalam menambah baik pengendalian jentera ini.

Penampilannya tidak banyak berubah, namun B4 Gran Coupe boleh dibezakan dengan 4 Series Gran Coupe menerusi spoiler depan dan belakang, serta muncung ekzos quad berbentuk bujur yang ditemani dengan diffuser. Ia memakai rim tempaan 20 inci yang dikatakan 12 kg lebih ringan berbanding rim asal, serta tayar Pirelli P Zero berukuran 255/35 di depan dan 285/30 di belakang.

Perkara yang sama juga boleh dikatakan tentang ruang kabin model ini, di mana penambahan terhad kepada logo Alpina pada roda stereng dan perehat kepala, serta plak nombor siri pada konsol tengah, berdekatan dengan tuil gear.

Previous post

BMW i7 Akan Datang Pada April Dengan Skrin 31″ Untuk Penumpang Belakang

Next post

Proton Akan Melancarkan SATU LAGI Saga Yang Dikemaskini Tidak Lama Lagi.

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *