Berita Auto

Alpina XB7 – Antara SUV Paling Berkuasa di Dunia

Selepas memperkenalkan D3 S beberapa minggu lalu, Alpina kini memperkenalkan satu lagi hasil buah tangannya iaitu XB7. Percaya atau tidak, ini merupakan kali pertama ‘tuner’ dari Bavaria itu menggunakan SUV untuk projek mereka.

XB7 adalah berasaskan kenderaan BMW yang paling besar iaitu X7. Varian M50i yang dikuasakan oleh enjin 4.4-liter twin-turbo V8 ini sebenarnya sudah cukup berkuasa dengan 530 hp dan 750 Nm, namun terima kasih kepada kepakaran Alpina, ia kini mempunyai 621 hp dan 800 Nm.

Walaupun mempunyai berat melebihi dua tan, XB7 hanya memerlukan 4.2 saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j dan 14.9 saat untuk mencapai kelajuan 200 km/j. Ia juga boleh dipandu sehingga 290 km/j. Prestasi mengagumkan ini disumbangkan oleh transmisi automatik lapan kelajuan talaan Alpina dan sistem pacuan semua roda xDrive.

Bagi memastikan ia kekal lincah, jentera ini turut mendapat sistem suspensi udara pada bahagian dan belakang. Bergantung pada kelajuan dan mod pemanduan, sistem ini boleh menurunkan kedudukan badan kenderaan sehingga 40 mm.

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan Integral Active Steering dan Limited-Slip Differential pada gandar belakang. Sistem brek Brembo yang terdiri daripada cakera berukuran 395 mm di hadapan dan 398 mm di belakang pula memastikan XB7 mempunyai kuasa membrek yang secukupnya.

Aspek penampilan turut dipertingkatkan menerusi kit badan sporty dan rim 23 inci yang dibalut tayar Pirelli. Bahagian dalaman pula menampilkan upholsteri kulit Lavalina dan kemasan kaca kristal pada tombol kawalan iDrive.

Previous post

Semua Kenderaan Volvo Kini Mempunyai Had Kelajuan 180 KM/J

Next post

Evolusi Stereng Peugeot

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *