Berita Auto

Alpina B5, D5 S Untuk Mereka Yang Dahagakan Kuasa

Barisan BMW 5 Series facelift (LCI) yang diperkenalkan beberapa minggu lalu diketuai oleh M550i sebagai varian paling berkuasa dengan 530 PS dan 750 Nm. Namun jika ini masih tidak mencukupi, model B5 dan D5 S yang dihasilkan oleh Alpina pasti dapat memuaskan keinginan itu.

Boleh didapati dalam versi sedan dan wagon, B5 asalnya merupakan M550i namun enjin 4.4-liter twin-turbo V8 itu telah ‘diperah’ bagi menghasilkan 630 PS dan 800 Nm. Ini membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.4 saat bagi versi sedan dan 3.6 saat bagi wagon.

Sementara itu, kelajuan maksimum masing-masing turut dinaikkan kepada 330 km/j dan 322 km/j. Ini dicapai dengan bantuan transmisi automatik lapan kelajuan keluaran ZF yang digabungkan dengan pacuan semua roda.

Bagi mereka yang lebih gemarkan enjin diesel, Alpina turut menghasilkan D5 S yang berasaskan varian 540d. Seperti B5, model ini juga ditawarkan dalam versi sedan dan wagon.

D5 S dikuasakan oleh enjin turbodiesel 3.0-liter enam silinder sebaris yang telah ditala sepenuhnya oleh Alpina, sekaligus meningkatkan kuasanya dari 340 PS dan 700 Nm kepada 408 PS dan 800 Nm.

Dengan transmisi dan pacuan yang sama, D5 S versi sedan mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 4.4 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 286 km/j. Versi wagon tidak kurang hebatnya dengan masa pecutan 4.6 saat dan kelajuan maksimum 283 km/j.

Selain peningkatkan pada enjin dan transmisi, kedua-dua model ini turut dilengkapi dengan sistem suspensi sport, peredam adaptif dan Integral Active Steering dengan ciri kawalan stereng roda belakang.

Bukan itu sahaja, ia juga didatangkan sistem brek yang merangkumi cakera berukuran 395 mm di hadapan dan 398 mm di belakang bagi membolehkannya mengendalikan jumlah kuasa yang lebih tinggi itu.

Previous post

Tawaran Hebat Sime Darby Motors Untuk Pelanggan Korporat Mereka

Next post

Volksawgen Umum Senarai Harga Baharu Selepas Pengecualian Cukai Jualan

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *