Berita Auto

Alpina B8 Gran Coupe – 620 PS, 800 Nm

Alpina telah memperkenalkan hasil tangan terbaru mereka iaitu B8 Gran Coupe – hadir sebagai alternatif yang lebih ‘rare’ dan ‘cool’ kepada BMW M8 Gran Coupe.

Seperti M8 dan M850i, B8 Gran Coupe juga dikuasakan oleh enjin 4.4-liter twin-turbo V8 namun di sini, kuasanya telah meningkat kepada 620 PS, iaitu 90 PS lebih tinggi berbanding M850i dan 20 PS lebih tinggi berbanding M8. Bukan itu sahaja, tork turut menyaksikan peningkatan sebanyak 50 Nm kepada 800 Nm.

Peningkatkan kuasa ini dilakukan dengan menala pengecas turbo serta sistem penyejukan, yang kini terdiri daripada tiga penyejuk bendalir luaran serta penyejuk minyak transmisi yang lebih besar. Alpina turut menggunakan sistem ekzos aktif rekaan mereka sendiri yang dikatakan menghasilkan bunyi yang lebih agresif.

Menurut Alpina, jentera ini boleh memecut dari 0 hingga 96 km/j dalam 3.3 saat manakala kelajuan maksimumnya adalah 323 km/j. Ini dicapai dengan transmisi automatik Steptronic Sport lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda xDrive.

Untuk casis pula, Alpina menggunakan sistem suspensi sport dengan peredam adaptif yang dipadankan dengan gegelung Eibach. Peredam tersebut memberikan karakteristik pemanduan yang pelbagai, bergantung kepada mod yang dipilih dari Comfort+ hingga Sport+. Sementara, tapak topang suspensi yang lebih keras pula memastikan kenderaan lebih stabil semasa menukar lorong.

Selain itu, B8 Gran Coupe juga dilengkapi dengan Active Kinematics Control System yang merupakan sistem stereng roda belakang. Pada kelajuan rendah, roda belakang akan membelok mengikut arah lawan pusingan stereng untuk pengendalian yang lebih lincah, manakala pada kelajuan tinggi pula, tayar akan membelok mengikut arah stereng untuk kestabilan.

Sistem brek pula terdiri daripada cakera Brembo berukuran 15.6 inci di hadapan dan 15.7 inci di belakang. Ia tersembunyi di sebalik rim Alpina Classic berukuran 21 inci yang dibalut tayar Pirelli bersaiz 245/35ZR21 di hadapan dan 285/3 ZR21 di belakang.

Previous post

Mercedes-AMG CLA 45 S 4MATIC+ Coupé Dapat Ciri-Ciri Baharu

Next post

Toyota Gazoo Racing Festival Musim ke-4 Catat 2 Juta Tontonan

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *