Berita Auto

BMW M8 Coupe, M8 Gran Coupe Dilancarkan di Malaysia

BMW Malaysia telah melancarkan dua model flagship dalam rangkaian BMW M iaitu M8 Coupe dan M8 Gran Coupe.

Kedua-dua model ini dikuasakan oleh enjin S63 4.4-liter twin-turbo V8 yang menghasilkan 600 hp dan 750 Nm dari 1,800 hingga 5,600 rpm. Dengan transmisi lapan kelajuan M-Steptronic dengan Drivelogic, pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam 3.3 saat manakala kelajuan maksimum adalah 250 km/j.

Enjin tersebut mempunyai tiga tetapan berbeza iaitu Efficient, Sport dan Sport Plus. Bergantung kepada tetapan yang dipilih, sistem berkenaan akan menukar respons enjin serta karakteristik bunyi ekzos M Sport.

Kuasa disalurkan menerusi sistem pacuan semua roda xDrive yang mempuyai mod 4WD, 4WD Sport dan 2WD dengan DSC dimatikan. Differential Active M pula mengendalikan pembahagian kuasa di antara roda belakang bagi mendapatkan cengkaman maksimum.

Pemandu juga boleh mengkonfigurasikan tetapan dinamik mereka sendiri menggunakan butang Comfort, Sport dan Sport+ untuk mempengaruhi enjin serta KVariable Damper Control M-specific dan stereng M Servotronic.

Dari segi penampilan, M8 Coupe dan M8 Gran Coupe hadir dengan lampu Laserlights, jeriji ‘kidney’ dengan bilah berkembar dan lencana M8 dan cermin sisi ‘twin stalk’. Bahagian belakang pula menampilkan komponen-komponen iaitu spoiler, diffuser dan muncung ekzos berkembar.

Ciri-ciri lain yang turut disertakan adalah bumbung gentian karbon serta rim aloi ringan berukuran 20 inci dalam gayaan 810 M.

Imej sporty diteruskan pada bahagian dalaman di mana terdapatnya tempat duduk M Sport yang diposisikan rendah, tuil gear M dan tali pinggang keledar M.

Turut disertakan adalah kluster instrumen digital 12.3 inci, paparan kawalan 10.25 inci, Head-up Display dan sistem audio Harman Kardon dengan 16 pembesar suara dan amplifier 464 watt.

Kedua-dua model boleh didapati dalam tujuh pilihan warna iaitu Alpine White, Brands Hatch Grey, Marina Bay Blue, Motegi Red, Black Sapphire, Donington Grey dan Barcelona Blue. Ruang dalaman pula dihiasi dengan kulit Merino sama ada dalam warna Hitam atau Silverstone. Sebagai alternatif, pelanggan boleh memperibadikan jentera mereka menerusi BMW Individual.

Harga jualan (atas jalan, tanpa insurans, dan dengan penawaran BMW Group Malaysia bagi Waranti Tanpa Had Perbatuan Bertempoh 5 Tahun, dan Program Servis Berjadual Percuma) adalah RM1,452,960.88 bagi M Coupe dan RM1,455,145.25 bagi M8 Gran Coupe.

Previous post

Geely Preface Yang Berkemungkinan Menganti Proton Perdana Semakin Dekat Dengan Produksi

Next post

BMW X3 M dan X4 M Competition Tiba di Malaysia

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *