Berita Auto

Nissan Kicks e-Power Bakal Tiba Di Malaysia?

Crossover segmen B merupakan antara segmen yang paling sengit dipertandingkan di Malaysia, dengan persaingan antara model-model yang popular seperti Honda HR-V, Proton X50, Mazda CX-3, Hyundai Kona dan Peugeot 2008.

Segmen tersebut mungkin akan disertai oleh satu lagi pesaing iaitu Nissan Kicks tidak lama lagi. Model itu telah diacah dalam video Tahun Baru Cina yang dimuat naik ke saluran Youtube Nissan Malaysia pada 29 Januari lalu.

Pada 2019, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) pernah menyebut rancangannya untuk membawa masuk Kicks ke pasaran Malaysian namun tiada sebarang perkembangan mengenainya sejak itu.

Setakat ini, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh pihak ETCM namun kelibat Kicks dalam video berdurasi 59 saat itu boleh dijadikan sebagai petanda kehadirannya ke negara ini dalam masa terdekat.

Berdasarkan bayangan yang diberi, crossover tersebut mungkin hadir dalam versi e-Power yang menampilkan enjin petrol NA 1.2-liter tiga silinder yang bertindak sebagai penjana (generator) kepada sebuah bateri berkapasiti 1.57 kWh.

Enjin tersebut menghasilkan 79 PS dan 103 Nm, manakala bateri itu ditugaskan untuk menguasakan sebuah motor elektrik yang mampu menjana 95 kW dan 260 Nm.

Apa yang menarik, video tersebut turut memperlihatkan kelibat Ariya, crossover elektrik Nissan yang menawarkan jarak pemanduan sejauh 450 km untuk versi bateri 63 kWh dan 610 km untuk bateri 87 kWh.

Jika betul Ariya akan dilancarkan di Malaysia, ia akan menjadi kenderaan elektrik kedua Nissan yang menembusi pasaran negara ini selepas Leaf. Rasa-rasanya, berapa harga EV ini selepas pengecualian duti dan cukai jualan?

Previous post

Pusat Servis Sime Darby Auto Selection Kini Dengan Bosch

Next post

Ini Rupa Kenderaan Elektrik Bateri Lexus RZ 450e Yang Akan Datang

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *