Berita Auto

PLUS Mohon Maaf, Janji Aktifkan Semula Lorong SmartTAG

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengeluarkan kenyataan maaf atas kesesakan lalu lintas teruk yang disebabkan oleh sistem RFID yang tidak berfungsi dengan baik di beberapa plaza tol di Lembah Klang pada Isnin, 17 Januari lalu.

Dalam satu kenyataan, PLUS berkata Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Hj Fadillah Haji Yusof telah menyuarakan kebimbangan serta keprihatinan beliau kepada rungutan orang ramai terhadap pelaksanaan peringkat awal RFID dan ketiadaan lorong SmartTag di plaza tol tertentu.

Oleh itu, syarikat konsesi lebuh raya itu berkata ia akan mengambil beberapa langkah proaktif yang sejajar dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di mana rakyat perlu diberikan kebebasan untuk memilih sama ada untuk menggunakan RFID, Touch ‘n Go atau SmartTAG untuk membayar tol.

Pertama sekali, PLUS akan mengaktifkan semula lorong SmartTAG ekoran rungutan dari pelanggan SmartTAG dan untuk menguruskan trafik.

“PLUS komited untuk mengembalikan semula 19 lorong SmartTAG di 16 plaza tol sebelum 25 Januari 2022 untuk kelancaran trafik sempena Perayaan Tahun Baharu Cina dan selepas perayaan iaitu pada pada 19 Februari, 24 lorong SmartTAG akan diaktifkan di 18 plaza tol,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi memastikan kenderaan dapat melalui lorong RFID dengan lebih pantas, PLUS akan berusaha mengoptimumkan prestasi sistem RFID dan meningkatkan kadar pengesanan tag RFID di plaza tol.

“Palang tol berganda yang lebih pantas akan dipasang di plaza-plaza tol dengan jumlah trafik yang tinggi. Sebagai tambahan, lokasi zon pengesanan RFID akan ditandakan pada permukaan jalan bagi membolehkan pengguna memastikan kedudukan kenderaan mereka dengan lebih baik dalam meningkatkan kadar pengesanan yang lebih tinggi ketika melalui lorong RFID.”

Selain itu, PLUS juga telah menempatkan Pembantu Khidmat Pelanggan di semua 158 lorong RFID di semua 74 plaza tol untuk memberi bantuan kepada pelanggan RFID yang menghadapi masalah dengan menggunakan Peranti Pengesan Mudah Alih.

Sementara itu, pelanggan yang mengalami masalah pengesanan RFID akan menerima kupon Touch ‘n Go yang boleh digunakan untuk membuat pemeriksaan di Pusat Pemasangan Tag RFID yang terdekat. Sekiranya tag didapati rosak, pihak Touch ‘n Go akan menggantikannya secara percuma.

Terdapat 24 Pusat Pemasangan Tag RFID di lebuhraya PLUS dan 35 lagi lokasi berada di luar lebuh raya. Senarai penuh Pusat Pemasangan boleh didapati di sini.

Previous post

Jetour T-X Mungkin Tiba Sebelum Ford Bronco Di Malaysia

Next post

Peugeot 2008 Baharu Kini Di Malaysia - RM126,753

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *