Berita Auto

12 Konsesi Lebuhraya Setuju Implementasi Sistem Tol Terbuka

Termasuk lebuhraya berbayar di DUKE, LDP, SPRINT, Kesas dan NPE.

Menteri Kerja Raya Malaysia, Dato Sri Alexander Nanta Linggi mengumumkan bahawa sebanyak 12 syarikat konsesi lebuhraya telah bersetuju untuk mengimplementasikan sistem pembayaran tol terbuka mulai September ini. Jadi, adakah ini bermakna kad Touch ‘N Go, Smart Tag dan RFID akan menjadi tidak berguna? Jom kita cari tahu.

Dato Sri Alexander juga menyebut bahawa syarikat tol ini termasuk Lebuhraya Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE), Lebuhraya Damansara – Puchong (LDP), Skim Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Terowong SMART serta Lebuhraya Kuala Lumpur – Putrajaya (MEX).

Selain itu, syarikat tol yang lain termasuk Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Lebuhraya Koridor Guthrie, Jambatan Pulau Pinang dan Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), kata Dato Sri Alexander.

Selepas melawat Pusat Pemantauan Trafik (TMC) Menara Korporat, Persada PLUS di Subang semalam, Dato Sri Alexander berkata, “Setakat ini, inilah syarikat konsesi lebuhraya yang telah bersetuju untuk mengimplementasikan sistem pembayaran tol terbuka. Kami masih rundingan dengan pihak lain dan kami berharap yang lain akan turut serta.”

Dato Sri Alexander menjelaskan bahawa sebab perundingan dengan syarikat konsesi lebuhraya mengambil masa yang lama adalah kerana kedua-dua pihak perlu memeriksa secara teliti risiko keselamatan yang mungkin timbul dari penggunaan kad kredit atau debit untuk pembayaran tol dan kerajaan ingin mengelakkan sebarang isu timbul.

Dato Sri Alexander juga menyebut bahawa sistem tol terbuka baharu ini akan dilaksanakan sekitar pertengahan September sebagai sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk memberikan lebih banyak pilihan kaedah pembayaran tol kepada rakyat selain daripada hanya kad Touch ‘N Go, Smart Tag dan RFID, yang mana telah pun mempunyai banyak isu.

Berkenaan dengan kerja-kerja pembaikan jalan lebuhraya, Dato Sri Alexander mengatakan kerja awal sudah bermula termasuk pelebaran laluan lebuhraya Pasir Gudang dan Sedenak, Johor yang melibatkan peruntukan sebanyak RM525 juta. Jelas bahawa pengalaman lebuhraya rata-rata Malaysia akan dipertingkatkan dalam beberapa aspek.

Tambah Dato Sri Alexander, “Peruntukan ini bawah Bajet 2023 dan apabila ia diluluskan, kerja awal sudah siap dan kami akan menyerahkan tugas kepada PLUS untuk melaksanakan kerja-kerja secara penuh.”

Dato Sri Alexander dengan jelas menyatakan bahawa sistem pembayaran tol terbuka baharu ini bertujuan untuk memberi pengguna lebuhraya lebih fleksibiliti dan pilihan dalam hal kaedah pembayaran di plaza tol dan bukannya untuk menghapuskan kaedah yang sedia ada, sekurang-kurangnya buat masa sekarang.

Segala maklumat terima kasih kepada Malaysia Now dan artikel penuh mereka dipautkan di sini.

Previous post

Tembak Menembak di Kilang Mercedes-Benz Jerman: 2 Terkorban

Next post

Pusat Pengalaman 4S GWM Malaysia Pertama di USJ Subang

Ross Hadi

Ross Hadi

21 tahun mengacara di radio.
8 tahun bersama Daniel Ferrnandez dalam rancangan Car Tunes di radio.
Kini di sini dan media sosial sejak 2014.

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *