Hibrid, Elektrik, Hidrogen

CAM EC35 Ialah Van Elektrik Pertama Malaysia

Sendok Group baru-baru ini memperkenalkan van elektrik pertama Malaysia iaitu CAM EC35 di Genting Highlands. Ia merupakan produk pertama di bawah CAM EV Line Up, anak syarikat Sendok Group yang ditubuhkan untuk memfokuskan kepada kenderaan elektrik (EV).

Dibangunkan khusus untuk syarikat penghantaran dan logistik, EC35 dikuasakan oleh sebuah motor elektrik yang menjana 60 kW (80 hp) dan 200 Nm. Dari segi prestasi, ia dikatakan boleh memecut dari 0 hingga 50 km/j dengan catatan bawah 10 saat.

Kuasa elektrik dibekalkan oleh pek bateri lithium-ion berkapasiti 38.7 kWh yang boleh memberikan jarak pemanduan sejauh kira-kira 268 km (berdasarkan kitaran WLTP) dengan satu cas penuh. Apa yang menarik, ia dilengkapi dengan pengecas 6.6 kW standard dan port pengecasan pantas.

CAM EC35

Untuk pengecas standard, pengecasan dari 20 hingga 80% mengambil masa selama lima jam, manakala pengecasan dari 0 hingga 100% pula memerlukan lapan jam. Sementara itu, pengecas pantas memerlukan 80 minit untuk pengecasan dari 20 hingga 80% dan 2 jam 30 minit untuk pengecasan dari 0 hingga 100%.

EC35 mempunyai ukuran dimensi 4,500 mm panjang, 1,680 mm lebar dan 1,985 mm tinggi, dengan tapak roda berukuran 3,050 mm. Ruang kargonya pula berukuran 2,550 mm panjang, 1,480 mm lebar dan 1,280 mm tinggi, sekaligus menghasilkan ruang penyimpanan sebesar kira-kira 4,800 liter.

Dari segi kelengkapan, van ini didatangkan dengan skrin sentuh lapan inci, ABS dan EBD, kamera dan sensor undur, serta beg udara untuk pemandu.

Berpengkalan di Klang, Sendok Group mempunyai fasiliti pemasangan tempatan (CKD) yang boleh memasang semua jenis kenderaan termasuk EV. Buat masa ini, divisyen teknikal automotif, penyelidikan dan pembangunan kumpulan itu diketuai oleh dua jurutera yang mempunyai pengalaman dalam bidang kejuruteraan automotif.

Previous post

Satu Lagi Saingan Tesla Model S Sedia Dihantar April Ini

Next post

Konsep Bawa Kereta Mesra Alam Redah Hutan Belantara

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *