Sukan

Pusingan Akhir Toyota GR Velocity Esports Hujung Minggu Ini

20 finalis Kejuaraan Toyota GR Velocity Esports akan berentap pada hujung minggu ini (18-19 September) untuk meraih hadiah keseluruhan bernilai RM70,000 dan peluang untuk mewakili negara di pusingan kelayakan Piala GR GT Asia.

Tidak seperti acara sebelumnya yang dianjurkan di ruang umum, pusingan akhir tahun ini akan diadakan sepenuhnya secara dalam talian, masing-masing di bawakan dari rumah peserta yang terlibat. Perlumbaan ini akan menggunakan platform Gran Turismo Sport oleh Sony Playstation.

Acara dua hari untuk separuh akhir dan akhir itu bakal menyaksikan barisan pemenang Kejuaraan Toyota GR Velocity Esports kembali beraksi mempertahankan kejuaraan, termasuk Taj Aiman, dan naib juara tahun lalu serta pelumba tempat ketiga, Iqbal Suji dan Mior Hafiz, dan tak lupa juga pemenang 2018, Muhammad Uzair.

Dalam pusingan separuh akhir, semua pelumba akan memandu Toyota 2000GT dalam perlumbaan 15 minit di litar Goodwood Motor Circuit, diikuti dengan perlumbaan kedudukan grid terbalik untuk melengkapi jelajah di United Kingdom. Perlumbaan ketiga pula akan menggunakan jentera GR Supra Racing Concept untuk tempoh 30 minit di litar Mount Panorama-Bathurst.

Pusingan akhir turut melibatkan format tiga perlumbaan. Dua perlumbaan terawal melibatkan lumba pecut (sprint) selama 15 minit dengan jentera FT-1 Vision Gran Turismo GR.3 di litar Spa Francorchamps di Belgium. Penentu juara adalah melalui perlumbaan 40 minit di Fuji Speedway dengan jentera TS050 Hybrid (TGR). Dalam pusingan ini, pelumba perlu melakukan sekurang-kurangnya satu hentian pit wajib.

Tiga pemenang teratas akan mewakili Malaysia dalam pusingan kelayakan Piala GR GT Asia yang dianjurkan oleh Toyota Motor Asia Pasific (TMAP), yang akan mempertemukan pemandu-pemandu handalan rantau ini.

Untuk memeriahkan lagi acara, pusingan akhir Kejuaraan Toyota GR Velocity Esports juga akan menyaksikan kemunculan beberapa pelumba dari Kejuaraan Vios Challenge. Antara yang akan beraksi adalah pemandu kelas Promotional, Zizan Razak, Shukri Yahaya dan Nabil Ahmad, serta pelumba jemputan dan pelakon Sharnaaz Ahmad; pemandu kelas Sporting, Clement Yeo; pemandu Super Sporting, Tengku Djan Ley dan Hayden Haikal; serta pelumba kelas Rookie Naquib Azlan, Putera Adam dan Amer Harris.

Layari dan tonton semua perlumbaan bagi Kejuaraan GR Velocity Esports di laman Facebook dan Youtube Toyota Gazoo Racing Malaysia, serta di saluran eGG di Astro.

Previous post

Tawaran Menarik Untuk Barisan BMW M Sempena Hari Malaysia

Next post

Ford Fiesta Dikemas Kini Untuk Model Tahun 2022

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *