Berita Auto

Ford Fiesta Dikemas Kini Untuk Model Tahun 2022

Ford telah memberikan Fiesta generasi ketujuh kemas kini, yang menyaksikan hatchback itu tampil dengan reka bentuk luaran yang lebih segar dan beberapa kelengkapan baharu. Selain varian Trend, Titanium, ST-Line dan Active yang sedia ada, pelanggan kini boleh memilih untuk mendapatkan pakej Vignale yang mengandungi spesifikasi mewah.

Bermula dengan bahagian luaran, Fiesta kini mendapat lampu LED secara standard (boleh dinaik taraf kepada lampu Matrix LED), bonet baharu dan gril atas yang lebih besar. Lencana Blue Oval kini diletakkan di dalam gril, berbanding di bawah garisan bonet pada model terdahulu.

Tidak kira varian apa yang dipilih, model ini hadir dengan tujuh pilihan rim aloi baharu dan dua warna baharu iaitu Boundless Blue dan Beautiful Berry. Selain itu, mereka yang memilih pakej Vignale akan mendapat rim aloi 17 atau 18 inci (bergantung kepada varian), upholsteri Sensico yang premium dan trim gentian karbon pada bahagian dalaman.

Di dalam, Fiesta menampilkan kluster instrumen digital TFT berukuran 12.3 inci yang mempunyai beberapa pilihan paparan bergantung kepada mod pemanduan yang dipilih, serta paparan berasingan di mana maklumat penting seperti teknologi bantuan pemandu ditunjukkan.

Bercakap tentang teknologi, Ford menyertakan ciri Wrong Way Alert baharu yang bertindak untuk memberikan amaran kepada pemandu sekiranya mereka memasuki lebuhraya secara berlawanan arus. Turut disertakan adalah ciri-ciri seperti Adaptive Cruise Control dengan Stop & Go, Speed Sign Recognition, Active Park Assist, Blind Spot Information System (BLIS) dengan Cross Traffic Alert dan Active Braking, Lane-Keeping Aid dan Pre-Collision Assist dengan Active Braking.

Selain itu, terdapat juga skrin sentuh berukuran lapan inci yang memberikan akses kepada sistem infohibur SYNC 3, serta Apple CarPlay dan Android Auto. Setiap varian Fiesta yang dilengkapi dengan sistem ini juga mendapat Rear Occupant Alert yang mengingatkan pemandu untuk memeriksa tempat duduk belakang.

Tiada perubahan mekanikal untuk model facelift ini, bermakna Fiesta akan kekal dengan enjin 1.0-liter EcoBoost Hybrid dan EcoBoost petrol. Versi hibrid menawarkan dua tahap kuasa iaitu 125 PS atau 155 PS, manakala versi petrol pula mempunyai 100 PS.

Turut dikemas kini untuk tahun 2022 adalah Fiesta ST. Hot hatch tersebut kekal dengan 200 PS yang dibekalkan oleh enjin 1.5-liter EcoBoost, namun jumlah torque meningkat dari 290 Nm kepada 320 Nm dari 1,600 hingga 4,000 rpm. Ini cukup untuk membolehkan jentera itu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.5 saat dan mencapai kelajuan maksimum 230 km/j.

Selain mod Normal dan Sport, Fiesta ST juga mendapat mod Track yang menggantikan mod Eco. Mod baharu ini mematikan Traction Control dan menala ESC khusus untuk pemanduan di litar lumba.

Ford Fiesta ST Facelift

Dari segi penampilan, model ini tampil lebih agresif dengan bukaan udara yang lebih besar, serta lip spoiler, skirt sisi, hatch spoiler dan diffuser dalam warna yang sama dengan badan. Ia didatangkan standard dengan rim 17 inci, namun pelanggan boleh memilih rim aloi 18 inci dengan kemasan Magnetite. Warna hijau ini juga baharu dan ia dikenali sebagai ST Mean Green.

Previous post

Pusingan Akhir Toyota GR Velocity Esports Hujung Minggu Ini

Next post

SOCAR Dapat AS $ 55 Juta Dari Sime Darby East Bridge Partners

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *