Berita Auto

Hyundai Casper Diperkenalkan Di Korea Selatan

Masih ingatkah anda pada Hyundai Getz? Hayat supermini itu tidak lama – ia dikeluarkan dari pasaran pada 2011, hanya sembilan tahun selepas pelancarannya. Kini, model itu bakal menerima penggantinya iaitu Hyundai Casper baharu. Ia akan dilancarkan di Korea Selatan terlebih dahulu, diikuti oleh India pada tahun ini.

Diposisikan di bawah Venue dari segi saiz, Casper tampil dengan penggayaan moden-retro comel yang pastinya akan menarik perhatian pembeli golongan muda. Seperti beberapa model semasa Hyundai yang lain, bahagian hadapannya menampilkan konfigurasi lampu terpisah, dengan lampu nyalaan siang di atas dan lampu utama berbentuk bulat yang diintegrasikan ke dalam gril.

Di sisi, Casper mempunyai gerbang roda yang lebar, kemasan plastik hitam di sekeliling badan sebuah SUV, dan juga rel bumbung. Bahagian belakang pula kelihatan agak premium, terima kasih kepada lampu LED parametrik yang dikeliling oleh panel berwarna hitam. Bergantung kepada varian, ia juga akan mendapat bumbung suria dan rim aloi dua tona.

Menurut India Car News, Casper mempunyai ukuran panjang 3,595 mm, lebar 1,595 mm dan tinggi 1,575 mm, dengan tapak roda sepanjang 2,400 mm. Ia dibina di atas platform K1 yang turut digunakan oleh model-model seperti Hyundai i10 dan Kia Picanto.

Gambar rasmi ruang dalamannya masih belum disiarkan namun melihat kepada lakaran yang didedahkan oleh The Korean Car Blog bulan lalu, SUV mini ini berkemungkinan akan hadir dengan paparan sistem infohibur yang diletakkan secara menegak di atas papan pemuka, stereng dua jejari dan kluster instrumen digital.

Untuk pasaran negara asalnya, Casper dilaporkan akan ditawarkan dengan dua pilihan enjin – enjin NA 1.0-liter Multi-Point Injection dengan 75 hp dan enjin turbo 1.0-liter dengan 99 hp. Kedua-duanya dipadankan dengan transmisi automatik empat kelajuan. Untuk pasaran India pula, model ini didatangkan dengan enjin NA 1.2-liter yang menghasilkan 83 hp dan 114 Nm.

Supermini/SUV mini adalah antara beberapa segmen yang sering dijauhi oleh syarikat pengeluar kenderaan namun Casper masih perlu menghadapi saingan daripada Maruti Suzuki Ignis, Renault Kwid dan Tata Punch apabila ia dilancarkan ke pasaran kelak.

Previous post

Lotus Mendedahkan Kilang Kapasiti 150,000 Setahun Baharu Di Wuhan

Next post

Lagi Imej Subaru Solterra Elektrik Yang Akan Datang Disiarkan

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *